KUCHING: Seri Paduka Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Pameran Tekstil Tradisional di Muzium Budaya Borneo (BCM).
Baginda diiringi anakanda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah, dan ketibaan disambut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Pameran itu menampilkan koleksi tenunan, sulaman serta karya kontemporari daripada pelbagai institusi warisan nasional dan serantau.
Ia akan dibuka kepada umum mulai 7 Disember, membabitkan penyertaan Yayasan Tenun Pahang Diraja, Kraftangan Malaysia, Yayasan Tun Jugah, Sarawak Craft Council, Tanoti House dan Society Atelier Sarawak.
Pameran berkenaan yang turut memaparkan tekstil langka, bahan arkib dan karya moden itu akan berlangsung sehingga 3 Mac 2026.

Penganjuran ini diadakan sempena Festival Tekstil Antarabangsa Borneo (BITF) 2025 yang berlangsung hari ini dan 8 Disember, sekali gus menjadi platform menghimpunkan pemain industri tekstil dari seluruh Borneo.
Abdul Karim sebelum ini berkata festival tersebut menjadi pemangkin kepada usaha mengukuhkan industri tekstil warisan dan kreatif rantau ini.
“BITF 2025 menghimpunkan artisan tradisional, pereka, bakat baharu dan pakar serantau dalam satu platform bagi memperkukuh perkembangan industri,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa BITF 2025 turut merangkumi kelas induk, demonstrasi tenunan, pertunjukan fesyen serta forum berkaitan hala tuju masa depan tekstil warisan.
Terdahulu, sebelum merasmikan pameran di BCM, Tunku Azizah turut berkenan merasmikan ‘Sense of Malaysia’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Esok, baginda dijadual menghadiri sambutan ulang tahun di Juma’ani Pavilion, yang menampilkan pertunjukan fesyen, demonstrasi dan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) melibatkan pelbagai rakan industri.
Penganjuran BITF 2025 dijangka mengukuhkan usaha Sarawak memposisikan negeri ini sebagai hab tekstil warisan dan industri kreatif di rantau ini.





