KUCHING: Sambutan Ulang Tahun Ke-3 JUMA’ANI Pavillion bakal berlangsung lebih istimewa apabila Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meninjau pusat warisan dan fesyen Sarawak itu, esok.
Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri berkata, lawatan Tunku Azizah ke JUMA’ANI Pavillion bukan sahaja menonjolkan pencapaian sebagai pusat inovasi fesyen dan warisan tekstil Sarawak, malah memperkukuh jaringan kolaborasi antara sektor awam, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan serta pengusaha tempatan.
“Kehadiran baginda dijangka memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan muda dan penggiat seni untuk terus mengekalkan serta memartabatkan warisan budaya Sarawak ke peringkat global.
“Baginda dijangka tiba di JUMA’ANI Pavillion pada jam 3 petang bagi lawatan rasmi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Sense of Malaysia (SOM) oleh Tunku Azizah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

Menurutnya, majlis ulang tahun itu turut menyaksikan penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Penjara Puncak Borneo, Tun Jugah Foundation (Olah Idup) dan Pink Jambu serta simbolik pemotongan kek bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-3 JUMA’ANI Pavillion.
Mengulas lanjut, katanya, lawatan dua hari bermula 7 hingga 8 Disember itu menekankan aspirasi CENTEXS Commercial untuk menjadi platform utama dalam mengangkat produk kreatif dan komuniti artisan Sarawak.
“Usaha ini adalah selaras dengan misi memupuk inovasi, kreativiti dan pemeliharaan budaya tempatan.
“Dengan sokongan padu pihak berkuasa negeri, usahawan dan komuniti, lawatan ini diharap membuka lebih banyak peluang pertumbuhan, memperluas jaringan perniagaan serta meningkatkan kebolehpasaran produk tempatan di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Lawatan itu membuktikan komitmen Sarawak dalam memartabatkan seni, warisan dan komuniti artisan sebagai aset utama negeri, sekali gus menjadi simbol kebanggaan rakyat Sarawak terhadap keunikan budaya dan kreativiti tempatan.





