BINTULU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berusaha meliputi semua kawasan bagi memperkenalkan calonnya, Iskandar Turkee kepada semua pengundi ketika tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak hanya berbaki enam hari lagi.
Pengarah Operasi GPS bagi PRK DUN Jepak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata walaupun Iskandar ialah anak tempatan Jepak, namun mungkin masih ada sesetengah kawasan yang belum mengenalinya.
“Jadi kempen itu akan kita pertingkatkan sehinggalah hari pengundian (4 November),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Kesedaran Keusahawanan Digital di Balai Raya Kampung Jepak, di sini semalam.
Timbalan Premier itu menambah di samping memperkenalkan calon, kempen itu juga bagi menerangkan dasar-dasar Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pembangunan.
Katanya ia disebabkan timbul propaganda atau fitnah ke atas kerajaan khususnya di media sosial demi kepentingan politik sesetengah pihak.

