KUCHING: Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah perlu terus diperjuangkan bagi memastikan hak serta kepentingan wilayah Borneo di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, tuntutan tersebut bukan sekadar melibatkan jumlah kerusi, sebaliknya berkait rapat dengan hak veto bagi menghalang sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan dilakukan tanpa persetujuan wilayah Borneo.
“Ini adalah benteng terakhir bagi menjamin identiti dan hak Sarawak di bawah MA63 tidak dicabuli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu ujarnya, Sarawak juga mesti konsisten dalam mendesak desentralisasi kuasa dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
“Kita tidak lagi boleh terikat dengan kerenah birokrasi Putrajaya khususnya dalam menangani isu sekolah dan klinik daif di negeri ini.
“Kita menuntut kuasa penuh dalam pengambilan guru menerusi dasar 90:10 serta autonomi pentadbiran bagi memastikan sistem perkhidmatan dapat disesuaikan dengan keperluan unik geografi dan demografi rakyat Sarawak. Perjuangan ini adalah tentang maruah dan kedaulatan,” ujarnya.
Beliau berkata, kestabilan politik adalah harta paling bernilai di bawah pimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta perisai utama membolehkan agenda pembangunan mega dilaksanakan tanpa gangguan polemik politik yang tidak produktif.
“Persekitaran yang kondusif ini bukan sahaja meletakkan Sarawak di peta pelaburan utama, malah menjadikan kita sebagai model terbaik bagi integrasi nasional dan pertumbuhan ekonomi yang fokus.
“Pendek kata, politik yang stabil adalah prasyarat mutlak bagi kemakmuran jangka panjang Sarawak sehingga diiktiraf sebagai ekonomi berpendapatan tinggi.
“Namun, pertumbuhan ekonomi tersebut perlu bersifat inklusif agar manfaatnya dapat dinikmati seluruh rakyat,” tegasnya.

