ARTIKEL

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan semasa berucap majlis penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Bahagian Bintulu pada Isnin.

Tuntutan tanah adat perlu berlandaskan undang-undang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Isu pertindihan tuntutan tanah adat perlu ditangani secara jujur dan berlandaskan undang-undang bagi mengelakkan konflik pemilikan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, peningkatan nilai tanah hasil pembangunan yang dilaksanakan kerajaan menjadikan pengurusan hak milik tanah semakin penting kerana kegagalan menyelesaikan status pemilikan boleh mencetuskan pertikaian berpanjangan antara individu dan komuniti.

“Pada masa dahulu tanah ditawarkan pada harga yang murah, tetapi tidak ramai yang berminat kerana kekurangan kemudahan asas. Kini apabila pembangunan berlaku hasil perancangan kerajaan, tanah menjadi semakin bernilai dan boleh menimbulkan konflik jika tidak diuruskan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Bahagian Bintulu di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), di sini, pada Isnin.

Awang Tengah berkata, kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf hak tanah adat Bumiputera (NCR). Namun, setiap tuntutan perlu dibuktikan secara sah dan mematuhi peruntukan Kanun Tanah Negeri.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak mengemukakan tuntutan yang melangkaui kawasan sebenar kerana tindakan sedemikian bukan sahaja menyukarkan proses penyukatan, malah boleh mencetuskan pertikaian pemilikan yang berlarutan.

“Tuntutan yang melampaui kawasan sebenar bukan sahaja menyukarkan proses penyukatan, malah boleh menimbulkan konflik pemilikan yang berpanjangan,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan terus mempergiat usaha menyelesaikan isu tanah adat menerusi Program Penyukatan Tanah Adat Inisiatif Baharu yang diperkenalkan pada 2010 bagi mempercepatkan pengukuran dan pengiktirafan tanah NCR di seluruh Sarawak.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu melibatkan penyukatan perimeter yang diikuti pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebelum penyukatan lot individu dijalankan bagi tujuan pengeluaran surat hak milik.
Bagaimanapun, tambahnya, kejayaan program tersebut memerlukan kerjasama masyarakat, khususnya ketika proses penyukatan dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Menurutnya, terdapat kes apabila pemohon gagal hadir walaupun notis penyukatan telah dikeluarkan beberapa kali sehingga menyebabkan proses pengeluaran surat hak milik tertangguh.

“Yang rugi akhirnya ialah pemohon sendiri kerana kelewatan itu menyebabkan surat hak milik tidak dapat dikeluarkan walaupun kerajaan berusaha mempercepatkan proses berkenaan,” katanya.

Mengenai isu ‘pemakai menua’ dan ‘pulau galau’, Awang Tengah berkata, keputusan mahkamah menetapkan kedua-dua konsep itu tidak mempunyai kuasa undang-undang dari sudut pemilikan tanah.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri telah meminda Kanun Tanah Negeri melalui pengenalan Seksyen 6A bagi membolehkan kawasan yang memenuhi syarat tertentu diiktiraf sebagai Native Territorial Domain (NTD), selain mula mengeluarkan surat hak milik kepada pemilik yang layak.

“Komitmen kerajaan jelas. Mana-mana tanah yang benar-benar menjadi hak rakyat akan terus dipelihara dan diiktiraf, namun setiap tuntutan perlu melalui proses yang sah, telus dan mematuhi undang-undang,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 39 penerima menerima TOL bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Melayu Tubau.

Selain itu, sebanyak 274 Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTS turut disampaikan kepada 189 penerima melibatkan kawasan Sungai Senunok dan Sungai Kelebu di DUN Kakus, Sungai Rassan di DUN Kemena, serta Murum dan Sungai Sepadok di DUN Jepak.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU