Tutup suis utama jika banjir, nasihat SEB

KUCHING: Tutup suis utama di dalam rumah! Itulah nasihat daripada Sarawak Energy Bhd (SEB) kepada mereka yang berhadapan dengan situasi banjir.
Penyedia kuasa elektrik negeri di negeri ini mengingatkan pelanggannya supaya memindahkan peralatan elektrik ke tempat yang lebih tinggi atau kawasan di atas paras banjir yang dijangkakan sebaik sahaja muncul tanda kenaikan paras air.
SEB dalam satu kenyataan hari ini berkata ia memantau keadaan di Sarawak dengan rapi kerana Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa bahagian di negeri ini akan mengalami angin kencang dan hujan lebat dalam beberapa minggu akan datang yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan mudah banjir.
Bagi memastikan keselamatan orang awam daripada bahaya elektrik, SEB berkata akan menutup bekalan kuasa ke pencawang dan kemudahan lain tanpa notis jika berlaku banjir atau paras air naik sehingga membahayakan keadaan.
Orang ramai perlu berwaspada dan mengamalkan langkah berjaga-jaga semasa hujan lebat atau paras air naik, katanya.
“Elakkan daripada menggunakan atau menyentuh peralatan elektrik dengan tangan yang basah atau lembap, jauhi daripada mendekati pepasangan elektrik (tiang, pencawang, transformer) yang tenggelam dan jika menaiki bot di kawasan banjir sila berhati-hati dengan talian elektrik. Sungai yang melimpah mungkin menaikkan paras air lebih dekat kepada talian voltan tinggi,” katanya.
Usai banjir, orang awam dinasihatkan supaya berjaga-jaga dengan tiang atau talian elektrik yang berkemungkinan terdapat arus elektrik di dalamnya dan jangan cuba mengendalikan peralatan elektrik yang telah terendam di dalam air kerana ia boleh mengakibatkan renjatan elektrik atau kebakaran.
Orang awam dinasihat untuk mendapatkan juruelektrik bertauliah yang berdaftar dengan Syarikat SESCO Bhd untuk memeriksa pendawaian rumah/bangunan sebelum membuka suis bekalan utama. Satu senarai juruelektrik berdaftar boleh diperoleh daripada https://www.sarawakenergy.com/customers/customer-service.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Pusat Mesra Pelanggan 24/7 SEB di talian 1300-88-3111 atau e-melkan kepada customercare@sarawakenergy.com. Pelanggan juga boleh menghubungi penyedia utiliti itu menerusi aplikasi bergerak SEB cares yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store.