SKUAD Tutus Ulu mengejutkan skuad pilihan, Tellian Daya 2-0 dalam aksi menarik Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak MuFA Piala Parlimen Mukah di Padang Mesra MDDM Mukah petang semalam.
Gol-gol Tutus Ulu dijaringkan oleh Md Farizzudin Jais pada minit ke-31 dan SiaHow Tong minit ke-45.
Ia merupakan kemenangan kedua buat Tutus Ulu yang kini sedang mendominasi Kumpulan A. Mereka mengalahkan Penat 3-0 dalam aksi pertama.
Walaupun lebih banyak menguasai bola dan serangan, namun Tellian Daya yang diterajui penyerang handaan Henry Selahat gagal memecah kebuntuan.
Tellian perlu memenangi semua baki tiga aksi jika mahu melayakkan diri ke suku akhir. Tellian Daya akan menentang JKKK Kampung Penat, RH Panjang Penipah dan Batumas United selepas ini.

Sementara itu, perasmian kejohanan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree petang semalam yang melakukan sepak mula.
Petang ini menyaksikan pertemuan Pekala United dan Sau FC.
Di atas kertas kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk menang. Pekala hanya mampu seri 0-0 ketika menentang Petanak FC dalam aksi pertama.
Manakala Sau FC pula mengatasi Leetonia JKKK 3-0 dalam perlawanan sulung.
Esok pula skuad pilihan Petanak United akan menentang KSRB Balingian.
Sejumlah 21 buah pasukan menyertai kejohanan tersebut yang dibahagikan kepada lima kumpulan. Ia telah pun bermula pada pertengahan Februari lalu dan berakhir pada pertengahan April depan.

JADUAL PERLAWANAN
HARI INI
Pekala United Lwn Sau FC
ESOK
KSRB Balingian Lwn Petanak United
SELASA
Oya FC Lwn Tanam FC
* Semua aksi berlangsung di Padang
Mesra MDDM mulai 4.00 petang.