KOTA SAMARAHAN: Penguasaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pemangkin utama dalam usaha Sarawak melahirkan kira-kira 500,000 tenaga kerja mahir menjelang 2030.
Langkah strategik itu penting bagi memenuhi permintaan industri masa kini yang memerlukan tenaga kerja berilmu serta berkemahiran tinggi demi memacu pembangunan negara yang lebih dinamik.
Pengarah ADTEC JTM Kota Samarahan Mohd Yasir Aziz berkata kebolehpasaran graduan TVET kini berada pada tahap amat membanggakan, sekali gus membuktikan bidang berkenaan menjadi pilihan utama sektor industri.
Beliau mendedahkan, kadar kebolehpasaran graduan di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) secara keseluruhannya mencapai 97.2 peratus di seluruh negara.
“Permintaan graduan TVET amat tinggi sehingga ada dalam kalangan mereka yang sudah ‘ditempah’ oleh pihak industri sebelum tamat pengajian lagi.
“Belia perlu merebut peluang meningkatkan kemahiran diri dan tidak hanya bergantung kepada pekerjaan makan gaji semata-mata, sebaliknya berani menceburi bidang keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Ilmu Minda Tekno, Kelebihan Kecerdasan Buatan yang disempurnakan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan) Datuk Dr Ripin Lamat di Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTK), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yasir mengingatkan golongan belia agar menyemaikan ‘Minda Tekno’ yang bukan sekadar kemahiran menggunakan peranti, tetapi merangkumi kesediaan minda untuk beradaptasi dengan perubahan teknologi.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Baharom Embi menegaskan integrasi AI seperti penggunaan automasi berasaskan ‘bot’ dan penganalisisan data berupaya menjimatkan kos operasi syarikat secara signifikan.
“Sebagai contoh, penggunaan sistem bot berasaskan AI dapat mengurangkan kebergantungan tenaga kerja fizikal bagi tugasan pemprosesan data harian, sekali gus meningkatkan kadar penjimatan dan kecekapan perniagaan,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan para belia mengasaskan koperasi serta memanfaatkan kemudahan latihan yang disediakan oleh IKMa bagi memperkukuh daya saing perniagaan masing-masing.



