TVS kini boleh ditonton di myFreeview saluran 122

KUCHING: Stesen televisyen pertama milik kerajaan Sarawak, TVS kini boleh ditonton melalui myFreeview.

TVS yang telah dilancarkan pada 10 Oktober tahun lalu kini boleh diakses melalui Saluran 122 di kedua-dua platform, myFreeview dan Astro.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Suhaimi Sulaiman, kini lebih ramai rakyat Malaysia, di Sarawak mahupun Semenanjung Malaysia dan Sabah yang boleh menonton rancangan kami.

Ujar beliau, mereka boleh menonton dan menikmati pelbagai rancangan seperti berita yang disajikan dengan empat bahasa yang berlainan di setiap jam, drama, dokumentari, telemovie, rancangan bual bicara dan pelbagai rancangan lain yang menarik.

“TVS telah menerima banyak maklum balas yang positif khususnya ketika siaran secara langsung yang memaparkan mengenai isu-isu komuniti, banjir dan pelbagai berita di peringkat kebangsaan.

“Kami menjadikan kandungan tempatan yang mengupas isu-isu di Sarawak untuk menjadi lebih relevan dan boleh dikaitkan dengan penonton dari seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.

Berpangkalan di Kuching, Sarawak, TVS berharap untuk terus menginspirasi dunia rakyat Malaysia melalui program-program yang ditayangkan untuk tujuan memaklumkan, mendidik dan menghiburkan.

Suara Sarawak