KUCHING: Malam Kemuncak dan Karpet Merah Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) mencatatkan 24.5 juta tontonan dan interaksi di seluruh platform TVS, sekali gus memperlihatkan sambutan terhadap acara muzik berprestij itu selepas julung kali berlangsung di Sarawak.
Jumlah berkenaan direkodkan menerusi siaran Malam Kemuncak, Karpet Merah serta kandungan promosi AIM25 di pelbagai platform TVS, termasuk televisyen, TVS Inspire dan media sosial.
AIM25 berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 26 September lalu sempena sambutan Jubli Perak anugerah berkenaan dan disiarkan secara langsung menerusi TVS Saluran 122 serta TVS Inspire.
Bagi memberi peluang kepada penonton yang terlepas siaran langsung untuk mengikuti semula detik kemuncak AIM25, TVS akan menyiarkan semula acara berkenaan pada 2 Oktober ini, jam 11 malam, dan 4 Oktober, jam 7.30 pagi.
Siaran ulangan itu boleh ditonton menerusi TVS Saluran 122 dan platform TVS Inspire, sekali gus memberi peluang kepada peminat muzik menikmati semula persembahan artis, penyampaian trofi dan detik istimewa sepanjang malam anugerah berkenaan.
Malam Kemuncak AIM25 turut mencatat tempoh siaran majlis penganugerahan trofi terpanjang dalam sejarah AIM, iaitu kira-kira empat jam, tidak termasuk Karpet Merah yang berlangsung selama satu jam 30 minit bermula 7.30 malam.
Ketua Pegawai Eksekutif TVS Kushairi Abang berkata penganjuran AIM25 di Sarawak menjadi peluang penting untuk mendekatkan pencapaian industri muzik tanah air kepada penonton di seluruh negara.
Menurutnya, penglibatan TVS sebagai penyiar rasmi dan penganjur bersama turut membuka ruang untuk mengetengahkan bakat serta karya tempatan, khususnya daripada Sarawak dan Borneo, ke pentas nasional.
Penyiaran AIM25 turut menampilkan persembahan barisan artis popular tanah air dan penghibur serantau, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi bersama Anggrek, Akim Ahmad, Alena Murang, Marsha Milan, Hael Husaini, Mimifly, Hujan, Estranged dan Fajar Noor.
Edisi ke-25 itu mencipta sejarah apabila AIM buat kali pertama dianjurkan di luar Semenanjung Malaysia, dengan Kuching dipilih sebagai lokasi sambutan Jubli Perak anugerah berkenaan.
Bagi TVS, pencapaian 24.5 juta tontonan dan interaksi itu memperlihatkan capaian kandungan AIM25 merentasi platform, manakala siaran ulangan membolehkan penonton yang terlepas acara secara langsung terus menikmati malam gemilang muzik Malaysia.



