KUCHING: Jalinan kerjasama strategik antara TV Sarawak (TVS) dan Kedah Tourism akan diteruskan dan diperkukuh menerusi pelaksanaan beberapa lagi inisiatif susulan bagi mengangkat keunikan serta keistimewaan destinasi pelancongan di Kedah kepada khalayak lebih luas.
Komitmen itu dizahirkan menerusi penglibatan TVS yang berada di Kedah bagi melaksanakan liputan khas destinasi dan kisah komuniti setempat untuk siaran program Inspirasi Duniamu di saluran ini.
“Antara lokasi yang menjadi pilihan mereka adalah Kopi Waktu di Ulu Sedaka, Yan yang terkenal dengan ‘vibes’ orang lama sambil bersantai di tepian sawah serta Rumah Makan Percuma By Ayam Bismi di Simpang Empat, Alor Setar yang banyak berjasa kepada penduduk setempat.
“Pemilihan dua lokasi ini dibuat berikutan kisah menarik di sebalik kewujudannya yang menampilkan kemurahan hati rakyat Kedah dalam mengamalkan konsep sedekah, selain keindahan suasana di Kopi Waktu yang turut menyajikan pemandangan mengagumkan Gunung Jerai,” menurut mereka menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Menurut hantaran itu lagi, kerjasama antara kedua-dua pihak akan diteruskan selepas ini melalui beberapa inisiatif baharu yang dirangka secara strategik dengan fokus memperluas pendedahan dan naratif pelancongan Kedah di peringkat nasional.
Usaha berterusan itu dilihat sebagai langkah berimpak tinggi dalam memperkukuh ekosistem promosi pelancongan rentas Sarawak, selain menyokong agenda memperkasa destinasi tempatan melalui kandungan siaran berprofil tinggi di platform televisyen. – TVS

