KUALA LUMPUR: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal, di Nirvana Centre di sini hari ini.
Ketibaannya bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, pada jam 11.30 pagi telah disambut oleh isteri mendiang, Datin Ho May Leng serta anak-anaknya.
Pada penghormatan tersebut, Tun Wan Junaidi serta isteri sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit dan bertanya khabar bersama keluarga mendiang.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rombongan juga hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang pada jam 12 tengah hari.
Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara dalam satu kenyataan rasmi semalam mengesahkan mendiang Mutang menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Sebelum ini, mendiang telah menerima rawatan di IJN setibanya di Malaysia pada 6 Mei lepas setelah berada di Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.
Upacara penghormatan terakhir diadakan hari ini di Nirvana Centre Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.
Esok, upacara penghormatan terakhir akan dijalankan di gereja Sidang Injil Borneo (BEM) Jalan Airport, Miri pada jam 10 pagi.
Manakala pada Isnin, iaitu 13 Mei, kebaktian akan diadakan di gereja BEM Canada Hill bermula jam 9 pagi hingga selesai dan urusan pengebumian akan dilakukan di Tanah Perkuburan SIB, Lambir.
Mendiang Mutang Tagal, yang lahir pada 5 Oktober 1954, telah dipilih untuk menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara ke-20 dan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari lalu.
Pelantikan itu menyaksikan mendiang, yang berasal dari Lawas, mencipta sejarah tersendiri sebagai pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang yang dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara.

