KUCHING: Jika kita hanya berkongsi cerita dengan berbicara, ia mungkin hanya sampai kepada beberapa orang.
Tetapi apabila kita menulis, buku itu boleh dibaca oleh sesiapa sahaja di mana-mana dari Sepanyol hingga ke Turki dan Amerika Syarikat, kata Mejar (Bersara) Mohammad Qayyum A. Badaruddin.
Bekas tentera yang berpengalaman 25 tahun dalam bidang kepimpinan dan pengurusan organisasi, aset dan anggota itu berkata, dengan menulis beliau berasa puas apabila buku yang ditulisnya dapat menjadikan orang pandai.

“Kepuasan saya apabila saya dapat pandaikan orang.
Apabila saya berkongsi ilmu dengan satu orang, orang itu dapat manfaatnya,” katanya kepada Suara Sarawak selepas Sidang Kemuncak Penulis Muda Sarawak, semalam.
Apabila menjadi penulis katanya, kita harus disiplin tentang masa dan perlu sentiasa menghormati masa orang lain.
“Masa jangan diurus kerana masa harus dicipta.
Dan, jangan membuang masa orang kerana menunggu kita. Jadi, anda kena tunggu orang.
Penulis dan penerbit buku, Mejar Mohammad Qayyum yang berpengalaman 25 tahun sebagai bekas tentera.
“Ketika menunggu, anda juga jangan buang masa.
Apakah yang anda boleh buat?
Membaca dan menulis.
Saya kongsikan bagaimana saya boleh membaca dan menulis walaupun ketika menunggu giliran di bank.
“Ketika menunggu giliran, saya membawa buku bacaan dan buku nota.
Saya ambil kesempatan menulis dan membaca. Saya boleh menulis satu buku dalam 10 harı ,”katanya.
Qayyum mengambil contoh, pagi semalam sebelum menghadiri sidang itu bermula pada jam 9.30 pagi, beliau sempat menyiapkan satu bab bukunya.
Justeru, beliau yakin apabila mahu berjaya dalam sesuatu perkara kita harus menetapkan had masa dan sasaran supaya dapat sampai ke destinasi.
“Sama seperti menulis kena tahu topik yang jelas.
Maksudnya, harus tahu topik yang hendak ditulis.
Misalnya, saya hendak tulis mengenai pengurusan masa, kita kena lihat macam mana orang berjaya menguruskan masa.
“Jadi, apabila saya hendak tulis, saya cari idea rahsia kejayaan orang.
Saya cari di Internet.
Saya cari bahan bacaan yang berkaitan dengan topik tersebut. Rahsianya, untuk hasilkan satu buku, saya kena baca 15 buku,” katanya.
Berkongsi pengalaman menulis dan menerbitkan buku, Qayyum menjelaskan prinsipnya yang bermula dengan jumlah kecil.
Katanya, kita tidak harus meniru orang lain yang mampu mencetak 1,000 naskhah buku sebaliknya beliau akan mencetak bukunya ikut kemampuan.
“Saya guna duit sendiri.
Saya guna duit pencen, duit simpanan saya.
Saya cetak 100 naskhah dan jual 100 naskhah.
Jangan ikut orang lain yang mampu.
Janji ada.
“Lepas habis 100 buku naskhah, saya cetak lagi 200 naskhah. Inilah kaedah macam mana anda boleh ada buku dengan jumlah berdasarkan kemampuan,” katanya.
Anak kelahiran Selangor ini bukan sahaja berjaya swaterbit sebanyak 215 judul, tetapi kini berazam menyiapkan 15 judul baharu merangkumi tema seperti kepimpinan, keusahawanan, keibubapaan, motivasi dan agama.
“Pada festival lepas, saya menandatangani 25,000 naskhah buku.
Memang penat tetapi seronok. Saya juga menyampaikan lebih 5,300 ceramah motivasi.
“Bagi saya, menulis medium menyebarkan ilmu dan inspirasi kepada masyarakat luas, menjangkaui sempadan dan negara,” katanya.
Baginya, pesta buku peluang untuk berhubung langsung dengan pembaca tanpa orang tengah.
Beliau juga berkongsi falsafah hidupnya yang diilhamkan daripada kata-kata, kalau impian anda belum mampu menakutkan anda, impian anda belum cukup bagus.
Qayyum menjelaskan impian besar inilah yang akan mendorong seseorang untuk keluar dari zon selesa dan berdepan dengan cabaran.
Qayyum percaya bahawa dalam hidup, jika kita tidak mendapat apa-apa yang kita suka, maka belajarlah menyukai apa-apa yang kita ada.
“Saya cukup seronok dengan kehidupan ini,” katanya sambil tersenyum dan menambah, setiap pengalaman itu berharga, walau di mana pun kita berada.
Kunjungannya ke Sarawak kali ini bukan sahaja untuk berinteraksi dengan pembaca tetapi juga untuk menerokai keindahan budaya tempatan dan bertemu dengan penulis seperti Datuk Dr Jeniri Amir.
“Tadi saya jumpa Dr Jeniri, saya sangat seronok walaupun sekejap.
Kita mendapat aura daripada individu yang hebat,” jelasnya. Untuk rekod, selain penulisan, Qayyum turut aktif dalam aktiviti kemanusiaan melalui MAPIM (Majlis Perundingan dan Perwakilan Malaysia).
Beliau juga aktif memberikan taklimat di masjid dan surau untuk menyampaikan isu semasa, meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai situasi dunia.
Qayyum pernah dalam operasi di sempadan MalaysiaThailand dan pulau-pulau di Sabah, sebagai pegawai latih di institut pengurusan tentera darat, pegawai tadbir pasukan udara tentera darat, pegawai operasi di markas 8 Briged Kelantan, jurulatih pusat perang serta pegawai operasi dan latihan di Markas Logistik Tentera Darat.
Beliau juga terlibat dalam misi kemanusiaan sebagai pengarah sukarelawan majlis perundingan islam malaysia di Gaza, Mesir dan dalam negara.
Selain itu, Qayyun pernah mengikuti misi ke Gaza, penghantaran wang, ubatan dan pakar pada 11- 20 Ogos 2014.
Terkenal dengan falsafah – biar sedikit tetapi bermanfaat selari dengan moto syarikatnya Inspiring by sharing, beliau banyak memberi ceramah motivasi percuma kepada institusi pengajian tinggi serta pihak yang memerlukan melalui program khidmat ceramah motivasi percuma.
Dengan segala pencapaian dan sumbangannya, pemegang Sarjana Perang Saraf Media UiTM ini terus membuktikan bahawa hidup ini indah jika kita tahu mewarnainya.




