Ubah mentaliti jadikan nelayan satu kerjaya, penggerak utama industri perikanan 

MUKAH: “Masyarakat perlu mengubah persepsi bahawa pekerjaan sebagai nelayan merupakan satu kerjaya yang boleh menjamin kehidupan kerana mereka berperanan penting kepada rakyat, tanpa nelayan maka tiada ikan atau sumber protein untuk semua,” jelas Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak Bohari Leng.

Katanya kini masyarakat sering melihat nelayan sebagai satu pekerjaan yang tidak sepopular pekerjaan lain sebagaimana nelayan ini antara sektor pekerjaan yang berhadapan dengan risiko bahaya, kotor dan sukar terutamanya dalam kalangan belia.

“Kita kena ubah tanggapan kita, sektor perikanan ini merupakan sektor yang dapat memberikan pendapatan yang terbaik, sebagai contoh sekurang-kurangnya mereka akan mendapat RM100 untuk tangkapan mereka dalam sehari.

“Nelayan boleh maju dan mendapat pendapatan lumayan sepertimana kerjaya yang lain, kerana kita tahu semakin hari pelbagai hasil laut diperoleh dengan harga ikan yang semakin baik dan tidak turun seperti harga komoditi lain,” katanya berucap dalam majlis penutupan Program Interaksi, Mykp dan EAFM (Ecosystem Approach to Fisheries Management to Fisheries di Dewan Pejabat Perikanan Laut Mukah semalam.

Tambahnya para nelayan juga tidak boleh bergantung kepada aktiviti penangkapan ikan semata-mata sebaliknya mereka mencari alternatif mempelbagaikan usaha untuk menambah pendapatan mereka.

AMANAH … Sebahagian penerima sijil lantikan Ketua Jaringan Perikanan untuk Derah Mukah di Dewan Pejabat Perikanan Laut Mukah semalam.

“Misalnya menerusi hasil laut yang diperoleh mereka boleh membuat produk sampingan untuk dijual seperti ikan masin, budu, keropok ikan dan sebagainya.

“Melalui ini secara tidak langsung ia memberikan pulangan yang lumayan dan mampu menarik golongan muda untuk terlibat dalam industri perikanan tambahan harga ikan yang semakin lumayan dari semasa ke semasa ini,” ujarnya

Sehubungan itu beliau mahu stigma masyarakat yang memandang negatif kerjaya sebagai nelayan perlu dikikis supaya dengan penglibatan aktif golongan belia dalam industri ini penting sebagai pelapis kepada nelayan kini.

“Oleh itu, nelayan kini perlu aktif melibatkan golongan belia untuk sama-sama berbakti dan terlibat secara langsung turun ke laut sama menangkap ikan mengikut setiap langkah dan prosedur yang betul.

“Sehubungan itu pelantikan Ketua Jaringan Perikanan (Mykip) untuk tempoh dua tahun oleh Jabatan Perikanan Laut Sarawak kepada beberapa orang nelayan ini berperanan penting dalam melahirkan dan mencari generasi baru yang faham akan industri perikanan dan berusaha memartabatkannya untuk masa yang akan datang,”katanya.

Dalam majlis tersebut seramai 14 orang Mykip untuk daerah Mukah telah dilantik sebagai ketua kepada setiap nelayan, selain dua pengusaha menerima Bantuan di bawah Projek Pembangunan Jabatan (Galakan Teknologi Moden Dalam Industri Akuakultur di Sarawak), Malikie @ Sulhamid Sait dan Julkipli Ajis.

Turut hadir ialah Pegawai Institut Penyelidikan Perikanan Nuridan Abdul Han, Ketua Cawangan Pengembangan dan Pemindahan Teknologi Arthur Besther Sujang, Ketua Unit Perlindungan Sumber Dokaneur Kasto Muning dan wakil-wakil dari 20 jabatan kerajaan yang terlibat.