SKUAD Kuching FA menjalani latihan malam sepanjang bulan Ramadan sebagai persiapan bagi menghadapi SAMB FC pada aksi 16 Jun depan. Jurulatih pasukan Ideris Untong berkata, latihan bermula dari jam 9 malam hingga 10.30 malam.

Selain itu, latihan setiap petang pada pukul 4.30 petang sehingga 6.00 petang bagi meningkatkan stamina pemain.

“Latihan ini untuk memantapkan lagi pengawasan, pengawalan bola serta menitik berat kepada sentuhan penyudah dan lebih kepada persefahaman antara pemain,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, banyak kelemahan perlu diperbaiki oleh pasukan dari setiap sudut posisi yang perlu diambil kira dalam setiap perlawanan.

“Usaha melalui latihan terus dilakukan bagi memperbaiki segenap posisi dengan pemain-pemain yang ada,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan penambahan tiga atau empat pemain baharu dalam pasukan.

“Bagaimanapun ia perlu persetujuan pihak pengurusan dan diumumkan dalam masa terdekat sebelum tarikh jendela perpindahan tamat,” katanya.

Katanya, tarikh jendela perpindahan pemain dibuka pada 27 Mei tahun ini.

Empat pemain yang sedang menjalani ujian bersama pasukan Kuching FA ketika ini ialah Sufizal Ismail, Ismail Bujang (pe-nyerang), Jimmy Raymond (pertahanan) dan Mohd Irfan Syahmi Irwanddy (tengah).

“Harapan yang tinggi diberikan kepada Kuching FA memandangkan ada kecenderungan peluang untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai hasrat mencipta kejayaan dari satu pertandingan ke satu pertandingan hingga ke penghujung musim,” katanya.

Kuching FA kini mendahului Liga M3 2019 dengan mengumpul 19 mata hasil daripada enam kemenangan dan seri sekali.

Suara Sarawak