ARTIKEL

Ucapkan terima kasih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KETIKA lepak santai-santai sambil minum teh panas di sebuah kedai makan, perbualan kami berempat — lepasan sekolah menengah di Kuching sekitar tahun 1990-an — tiba-tiba berkisar tentang dua perkataan yang ringkas, namun sarat makna: terima kasih.

Entah bagaimana, daripada sembang kosong tentang kerja, keluarga dan kisah lama, topik itu muncul sendiri. Mungkin kerana masing-masing sudah melalui fasa hidup yang mengajar kami tentang memberi dan menerima. Tentang menolong dan ditolong. Dan, tentang perasaan apabila kebaikan seolah-olah dianggap kewajipan, bukan sesuatu yang perlu dihargai.

Untuk mengucapkan terima kasih, perlu ada rasa ikhlas dari hati. Itu hakikat yang kami sepakati. Memang benar, sumbangan atau bantuan yang tidak dihargai boleh membekas di hati. Namun, biarlah ia berlalu. Jangan disimpan terlalu lama.

Seorang rakan menuturkan nasihat yang cukup menenangkan, “Macam aku, aku tidak peduli sangat ucapan terima kasih daripada orang yang aku pernah tolong. Serah kepada Allah. Yang penting tenangkan hati kita, murnikan hati kita. Jadi kita tidak akan sakit hati.”

Nasihat demi nasihat diluahkan malam itu. Ada benarnya. Namun, dalam masa yang sama, kami tertanya-tanya: adakah begitu sukar untuk seseorang mengucapkan terima kasih? Jawapannya, ya dan tidak. Ada yang mudah, ada yang terlalu berkira. Pun demikian, walaupun hanya dua perkataan, seolah-olah ia terlalu eksklusif untuk diucapkan — mungkin hanya untuk orang tertentu sahaja.

Hakikatnya, ucapan terima kasih akan membekas di hati si penerima. Ia mampu membuatkan seseorang menguntum senyum, walaupun tanpa hadiah atau balasan. Cukup sekadar pengiktirafan bahawa apa yang dilakukan itu dihargai.

Di kedai makan misalnya, pelayan yang menghantar makanan akan tersenyum jika pelanggan mengucapkan terima kasih atas kerjanya. Walaupun itu tugas hakiki mereka, namun mereka juga manusia yang perlu dihargai. Sekadar ucapan terima kasih sudah cukup untuk mencerahkan hari mereka.

Begitu juga ketika kita hendak keluar dari kedai makan. Apakah perasaan kita apabila setiap pekerja mengucapkan, “Terima kasih bang, kakak… datang lagi, ya.” “Kita hampir pasti akan tersenyum sambil membalas, “Sama-sama, insya-Allah.” Ucapan itu, walaupun rutin, tetap memberi kesan — hanya kerana kita singgah dan menjamu selera.

Di klinik atau hospital, situasinya juga sama. Doktor dan jururawat yang membantu kita bukan sekadar menjalankan tugas, tetapi berusaha memastikan kita kembali sihat. Memberikan ucapan terima kasih kepada mereka adalah tanda penghargaan yang wajar, walaupun hanya dengan kata-kata.

Namun, mengapa masih ada yang berasa sulit mengucapkan terima kasih?

Pertama, mungkin kerana rasa bangga diri dan ego. Ada yang melihat kebergantungan kepada orang lain sebagai kelemahan. Mengucapkan terima kasih seolah-olah merendahkan kedudukan diri sendiri.

Kedua, kerana ia bukan amalan biasa. Individu yang tidak dibiasakan dengan budaya menghargai mungkin berasa canggung, malah janggal, untuk mengucapkannya.

Ketiga, mungkin kerana kurang kesedaran tentang betapa pentingnya ucapan terima kasih dalam mempengaruhi hubungan interpersonal dan emosi orang lain.

Untuk mengatasi kesulitan ini, kita perlu memahami nilainya — bahawa ucapan terima kasih bukan sekadar formaliti, tetapi asas kepada hubungan yang sihat dan harmoni.

Barack Obama, bekas Presiden Amerika Syarikat, pernah berkata: “Ketika kita memberikan dengan tulus, kita menerima dengan baik. Mengucapkan terima kasih adalah cara sederhana, namun baik untuk menghargai orang lain.”

Mahatma Gandhi pula menyatakan: “Kebahagiaan sejati adalah ketika apa yang anda katakan, fikirkan dan lakukan selaras satu sama lain. Mengucapkan terima kasih adalah cara yang indah untuk menghormati kerja keras dan dedikasi orang lain.”

Mengucapkan terima kasih ialah sebahagian penting dalam komunikasi sosial yang sihat. Ia menunjukkan kita mengakui dan menghargai sumbangan orang lain. Kesannya bukan kecil — individu yang dihargai akan berasa bermakna dan lebih bermotivasi untuk terus membantu pada masa hadapan.

Selain itu, ucapan terima kasih mampu memupuk hubungan positif. Ia menguatkan hubungan emosional, melancarkan komunikasi, dan mewujudkan suasana saling menghormati.

Dalam konteks tempat kerja, budaya mengucapkan terima kasih boleh mencipta persekitaran yang positif. Ia memperkukuh kerjasama berpasukan, meningkatkan motivasi, dan membina budaya kerja yang sihat.

Lebih penting, mengucapkan terima kasih turut menyejahterakan mental kita sendiri. Tindakan menghargai orang lain terbukti meningkatkan rasa bahagia dan kepuasan peribadi. Memberi penghargaan sebenarnya adalah hadiah kepada diri sendiri.

Secara keseluruhannya, mengucapkan terima kasih adalah amalan yang sederhana, namun impaknya besar. Ia memperbaiki hubungan interpersonal, mencipta persekitaran positif dan menyumbang kepada kesejahteraan mental — untuk diri sendiri dan orang lain.

Jadi, budayakanlah mengucapkan terima kasih, walaupun untuk hal yang kecil. Kerana dua perkataan itu mungkin ringan di bibir, tetapi berat nilainya di hati.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU