ARTIKEL

Wee meninjau lokasi kejadian pada petang semalam.

UCCN Gastronomy Pavilion ditutup dua hari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: UCCN Gastronomy Pavilion di Kuching Festival Fair ditutup selama dua hari hingga hari ini bagi memastikan keselamatan pengunjung, peniaga dan petugas susulan kerosakan struktur akibat hujan lebat serta angin kencang yang melanda bandar raya ini petang semalam.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, penutupan sementara itu merupakan langkah berjaga-jaga bagi membolehkan pemeriksaan menyeluruh, kerja pembersihan serta pembaikan dilakukan terhadap kawasan pavilion yang terjejas.

Katanya, cuaca buruk menyebabkan bahagian tengah khemah marquee pavilion diterbangkan angin, sekali gus memberi kesan kepada beberapa gerai yang berada di kawasan berkenaan.

“Keselamatan peniaga, pekerja dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan kami dan tiada risiko yang tidak perlu akan diambil, terutama ketika keadaan cuaca masih tidak menentu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap keadaan struktur dan kawasan sekitar sedang dijalankan bagi mengenal pasti kerosakan serta memastikan semua bahagian pavilion berada dalam keadaan selamat sebelum dibuka semula.

Dalam kejadian itu, beberapa gerai di bawah bahagian tengah khemah terjejas selepas struktur marquee tidak dapat menahan tiupan angin kuat ketika hujan lebat berlaku.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan semua individu yang berada di lokasi berada dalam keadaan selamat.

Katanya, kakitangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah berada di lokasi untuk menilai tahap kerosakan, selain mengambil tindakan segera bagi mengukuhkan serta mengamankan struktur yang terjejas.

“Kerja-kerja pembersihan dan pembaikan akan dilaksanakan mengikut keperluan bagi memastikan kawasan ini benar-benar selamat untuk digunakan semula,” katanya.

Pihak pengurusan UCCN Gastronomy Pavilion turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat penutupan sementara itu, selain merakamkan penghargaan kepada semua peniaga dan orang ramai atas kerjasama serta kefahaman berhubung langkah keselamatan yang diambil.

BERITA LAIN

Wajib bayar HUTANG, jangan tangguh

Hutang merupakan perkara yang lazim dalam kehidupan manusia. Ada yang berhutang untuk memenuhi keperluan keluarga, membeli rumah, mendapatkan kenderaan atau menjalankan perniagaan. Islam tidak melarang

BERITA TERBARU