Uggah gesa penternak babi tingkat keselamatan-bio, elak jangkitan ASF

KUCHING: Ladang-ladang babi komersil di Sarawak digesa supaya meningkatkan langkah-langkah keselamatan-bio mereka, bagi membanteras penyakit African Swine Fever (ASF) daripada menular ke dalam negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bagi mereka yang memasuki Sarawak, terutama yang baru kembali dari negara luar, mereka diingatkan supaya tidak membawa pulang daging babi, atau produk-produk babi dari negara yang terjejas dengan penyakit ASF.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata pihaknya turut menasihatkan penternak tempatan supaya tidak memberi makan sisa-sisa makanan kepada babi yang diternak kerana virus ASF dari produk-produk babi yang tercemar tidak boleh dilupuskan menerusi proses memasak.

“ASF adalah penyakit yang amat kritikal yang boleh menjejaskan ekonomi negeri, dan setiap usaha yang terdaya perlu dilakukan bagi menghalang penyakit ini daripada memasuki SDarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya ASF adalah penyakit berkaitan babi yang mudah berjangkit di samping sangat berbahaya, dan susulan notifikasi China kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan (OIE) pada 3 Ogos lepas yang mengesahkan kewujudan kes ASF di ladang babi domestik di Wilayah Liaoning, seluruh rantau Asia kini berhadapan dengan risiko.

Sementara itu Jabatan Verterinar Sarawak telah mengeluarkan dua pekeliling kepada pengimport daging dan produk-produk daging, mengenai larangan import babi atau produk-produk babi daripada negara-negara yang terjejas akibat ASF pada 2 Disember dan 2 Jan lepas.

Menurutnya penyakit itu dikesan sudah mulai menular di Mongolia, Vietnam, Kemboja, Laos serta Myanmar, dan perkembangan ini mencetuskan rasa bimbang dan cemas di kalangan negara-negara seperti Thailand, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Filipina, Australia dan Malaysia.

Bagaimanapun menurutnya virus jangkitan penyakit ini tidak berbahaya kepada manusia, dan pakar-pakar merasakan risiko virus itu bermutasi untuk menjangkiti manusia, amat kecil sekali.

Suara Sarawak