ARTIKEL

Tertuduh dibawa keluar dari bilik Mahkamah Majistret 2 oleh anggota polis.

Ugut sebar video lucah, lelaki dipenjara 18 bulan di Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut untuk menyebarkan video lucah bekas kekasihnya jika permintaannya tidak dipenuhi.

Mohammad Azuan Amir, 28, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengugut untuk menyebarkan video lucah mangsa berusia 18 tahun jika tidak diberikan wang.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Petra Jaya pada sekitar jam 11 malam, 15 November lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa menerima ugutan daripada bekas teman lelakinya bahawa lelaki itu akan menyebarkan video lucah mereka bersama ke media sosial jika mangsa tidak memberikan wang berjumlah RM300.

Mangsa yang bimbang video itu tersebar lalu membuat dua transaksi pindahan wang sebanyak RM200 ke dalam akaun milik tertuduh.

Namun, tertuduh terus mendesak pengadu untuk memasukkan lagi baki RM100 ke dalam akaun yang sama.

Bimbang akan keselamatan diri, mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh pada 21 November lalu.

Hasil siasatan mendapati tertuduh memaksa mangsa memberikan wang dan akan menyebarkan video lucah mereka di media sosial jika mangsa enggan berbuat demikian.

Siasatan lanjut juga mendapati resit transaksi pemindahan wang daripada akaun pengadu kepada akaun milik tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU