KUCHING: Lawatan strategik Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sarawak ke Jakarta, Indonesia memperkasakan agenda pengantarabangsaan dan keusahawanan sosial, sekali gus memperkenalkan kopi Luzia ke pasaran Sarawak.
Pegawai pengiring merangkap Pensyarah Kanan UiTM cawangan Sarawak, Dr Tamoi Janggu berkata, program tersebut berpaksikan kepada pelaksanaan agenda SULAM (Service-Learning Malaysia – University for Society) di peringkat serantau dengan menggabungkan sinergi akademik dan komersial antarabangsa.

“Lawatan strategik ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan akademik sedia ada melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dengan Universitas Insan Pembangunan Indonesia (UNIPI), malah membuka lembaran baharu dalam sektor industri.
“UiTM kini berada pada fasa perbincangan untuk memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama dengan ASL Group of Companies bagi memperoleh hak membawa masuk, mempromosikan, dan memasarkan produk premium Kopi Luzia ke pasaran Sarawak.

“Setakat ini, kedua-dua pihak memberi respons yang amat positif,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.
Tegasnya, UiTM terus optimis dalam perbincangan MoA tersebut agar dapat dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Dr Tamoi menjelaskan bahawa projek pengedaran kopi Luzia ini akan digerakkan secara holistik melalui acuan ekosistem kampus yang unik, melibatkan tiga peranan utama iaitu universiti yang bertindak sebagai penyedia struktur, tadbir urus, dan peneraju penyelidikan pasaran rentas sempadan bagi memastikan produk bersesuaian dengan demografi dan selera.
Jelasnya, peranan kedua ialah mahasiswa UiTM yang akan menjadi enjin penggerak kreatif di lapangan melalui inisiatif SULAM—mengendalikan kempen pemasaran digital, strategi jualan, dan komunikasi silang budaya sebagai bentuk pembelajaran berasaskan pengalaman.

Peranan ketiga ialah Koperasi Siswa yang berfungsi sebagai hab logistik dan komersial rasmi di peringkat domestik yang menguruskan rantaian bekalan serta pusat pengedaran rintis di dalam kampus.
Beliau memberitahu bahawa lawatan ke ibu negara Indonesia selama enam hari bermula 10 hingga 15 Jun itu disertai 21 siswa daripada Fakulti Perakaunan.
Sepanjang program berlangsung di UNIPI, Dr Tamoi menyampaikan perkongsian kepakaran bertajuk “Risk Management for Entrepreneurs”.
Manakala, pegawai pengiring dua merangkap Pensyarah Kanan UiTM Dr. Yussri Sawani mengupas topik kritikal masa kini menerusi pembentangan bertajuk “Promoting ESG in SMEs: From Compliance to Competitive Advantage”.


