KUCHING: Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak dan Universiti Formosa Kebangsaan (NFU) mengukuhkan pendedahan global dan kecekapan teknikal dalam kalangan pelajar.
Rektor UiTM Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah berkata, MoU itu telah diadakan di Huwei, Taiwan pada 31 Oktober lalu.
Majlis menandatangani MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden NFU, Prof. Dr. Shinn Liang Chang dan Naib Presiden Hal Ehwal Antarabangsa NFU, Prof. Dr. Shou Yin Yang.
“MoU itu menggariskan bidang strategik kerjasama termasuk penganjuran bersama persidangan antarabangsa program mobiliti dan pertukaran pelajar.
“Selain itu ia termasuk kolaborasi projek penyelidikan dan inovasi dan perkongsian antara pusat kecemerlangan.
“Inisiatif program sekolah musim panas dan perkhemahan turut dirancang untuk mengukuhkan pendedahan global dan kecekapan teknikal dalam kalangan pelajar” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu perkongsiannya di laman media sosial Facebook Rektor UiTM Sarawak, hari ini.
Tambah beliau, delegasi UiTM turut dibawa melawat ke beberapa kemudahan utama seperti Perkhidmatan Pemeriksaan Produk Pertanian dan Bioteknologi Jabatan Bioteknologi Sekolah Ladang Organik Ma-Kuang (Jabatan Teknologi Pertanian) dan Loji Pemprosesan Makanan Perintis Prof. Peng Chi-Chung.
“Lawatan ini memberikan pandangan yang tidak ternilai tentang kemajuan luar biasa Taiwan dalam pertanian mampan bioteknologi dan inovasi makanan” katanya lagi.
Ujarnya kerjasama kedua-dua universiti itu komited untuk memupuk kecemerlangan penyelidikan inovasi dan perkongsian global.




