SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak komited menyokong program Matlamat Pembangunan Lestari (MPL) ke-11 dalam mewujudkan bandar dan komuniti mapan.
Penyelaras Pusat Hijau dan Jawatan Kuasa Pelestarian Kampus UiTM Sarawak Nurzawani Md Sofwan berkata, pelancaran program e-skuter merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong MPL tersebut.
Menurutnya, inisiatif ini wujud berikutan anugerah emas yang diperoleh UiTM dalam Anugerah Alam Sekitar Perdana Sarawak tahun lalu sekali gus menjadi motivasi untuk melakukan banyak aktiviti berkaitan kelestarian.
“E-skuter merupakan salah satu contoh kampus pintar dengan penggunaan mobiliti yang tidak menggunakan bahan bakar dan mengurangkan pelepasan karbon, di samping memudahkan pergerakan pelajar dalam kampus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran E-Scooter Micro Mobility UiTM Cawangan Sarawak di Pusat Pelajar UiTM Cawangan Sarawak, di sini,hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak Datuk Jamil Hamali.
Selain itu kata Nurzawani, pelajar bukan sahaja dapat menjimatkan masa untuk bergerak dalam kampus, malah dapat melakukan aktiviti riadah yang baharu melalui inisiatif e-skuter itu.
Berkaitan keselamatan beliau menjelaskan bahawa UiTM telah mengeluarkan pekeliling penggunaannya.
“Antaranya mengehadkan penggunaan sehingga jam 11 malam dan menetapkan had laju 20 kilometer per jam dan banyak ciri keselamatan yang lain.
“Kami mahukan yang terbaik untuk pelajar kerana pihak kami amat menitikberatkan kebajikan pelajar dan inisiatif ini bakal memberikan manfaat kepada lebih 4000 pelajar Uitm di Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga berkata inisiatif e-skuter bersama Beam membuka peluang kepada Fakulti Kejuruteraan Elektrik mewujudkan kerjasama pada masa akan datang dalam membangunkan kemahiran inovasi selain menyediakan latihan industri kepada pelajar.
Pada masa sama, beliau turut beharap agar inisiatif ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar dan memberi manfaat kepada warga kampus.