ARTIKEL

Dr Firdaus (tengah) merakam kenangan bersama doktor pergigian daripada Jabatan Kesihatan Pergigian Bahagian Samarahan pada Program Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2026 di Kota Samarahan, hari ini. Program tersebut melibatkan seramai 40 pengamal perubatan pergigian.

UiTM Sarawak saran perkhidmatan pergigian universiti dibuka kepada orang awam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Perkhidmatan pergigian yang dilaksanakan di universiti disarankan supaya tidak lagi terhad kepada golongan pelajar, sebaliknya diperluas kepada orang awam bagi memperkukuh peranan institusi pendidikan sebagai pusat khidmat komuniti.

Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Dr Firdaus Abdullah menegaskan, langkah itu penting bagi menjadikan universiti bukan sekadar pusat pembelajaran, malah berfungsi sebagai lokasi masyarakat mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan dengan lebih dekat dan mudah.

“Ia akan membuka ruang kepada orang ramai untuk merasai sendiri perkhidmatan pergigian yang disediakan, sekali gus mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dengan masyarakat setempat.

Dr Firdaus menyampaikan amanat semasa merasmikan Program Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2026 yang dihadiri seramai 40 doktor pergigian di Kota Samarahan, hari ini.

“Sehubungan itu, Program Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2026 ini wajar diperluas kepada orang ramai supaya masyarakat luar dapat hadir dan menerima manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Pergigian Bahagian Samarahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2026 yang melibatkan seramai 40 doktor pergigian di sini, hari ini.

Dr Firdaus menambah, universiti berupaya memberikan impak lebih luas kepada masyarakat yang memerlukan perkhidmatan kesihatan asas. Perluasan inisiatif ini juga dijangka menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan awam melalui penyediaan fasiliti yang lebih inklusif.

“Langkah tersebut selari dengan aspirasi untuk menjadikan universiti sebagai pusat yang melibatkan masyarakat secara langsung dalam setiap perkhidmatan yang ditawarkan,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong pelaksanaan program kesihatan melalui sumbangan sumber, tenaga kerja serta kerjasama strategik pada masa hadapan. Menurutnya, sokongan berterusan adalah kunci bagi memastikan inisiatif kesihatan memberi kesan positif kepada pelajar dan penduduk sekitar.

Selain itu, UiTM Sarawak merancang untuk meneruskan program seumpama itu secara berkala, sama ada setiap enam bulan atau setahun sekali, bergantung kepada keperluan semasa.

Pihak universiti juga berhasrat memperluas program kesihatan ke kawasan lain termasuk Mukah bagi memastikan lebih ramai komuniti menerima manfaat.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UiTM Sarawak dalam memperkukuh peranan institusi pendidikan sebagai pusat khidmat masyarakat yang aktif dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan,” katanya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU