Ujian negatif, padahal  sudah dijangkiti Covid-19

WASHINGTON: Ketika ujian kit digunakan secara meluas di AS, saintis menyuarakan kebimbangan ramai yang disahkan negatif walaupun dijangkiti wabak Covid-19.

Keadaan itu mampu membawa implikasi buruk berikutan ada yang tidak menyedari membawa virus itu dan menyebarkan kepada orang lain sekali gus lebih ramai berisiko dijangkiti.

Kebanyakan ujian di seluruh dunia menggunakan teknologi PCR, yang mengesan virus korona menerusi sampel kahak.

Namun pakar penyakit berjangkit di Mayo Clinic di Minnesota, Priya Sampathkumar berkata terdapat banyak perkara yang memberi kesan sama ada ujian mampu mengesan virus itu atau sebaliknya.

“Sebenarnya, ia bergantung berapa banyak titisan virus yang dirembes sama ada melalui bersin, batuk atau cecair badan lain.

“Selain itu, bagaimana ujian itu diperoleh, sama ada ia dilakukan secara betul bagi mendapatkan sampel swab dan berapa lama tempoh sebelum ujian dilakukan turut memainkan peranan,” katanya.

Menurutnya, virus berkenaan mampu berjangkit dalam kalangan manusia sehingga empat bulan, justeru kajian berkenaan kebolehpercayaan ujian masih dianggap awal.

Laporan awal dari China, tahap sensitiviti kesahihan ujian positif bagi kehadiran virus adalah sekitar 60 hingga 70 peratus.

Ini berikutan syarikat berlainan di seluruh dunia kini menghasilkan kit ujian yang sedikit berbeza, sekali gus menyukarkan perangkaan yang tepat.

Priya berkata, mengikut jurnal yang diterbitkan Mayo Clinic Prosiding, meskipun ada kemungkinan sensitiviti ujian hingga 90 peratus, risiko akan bertambah tinggi sekiranya lebih ramai orang diuji.

“Di California, kadar jangkitan Covid-19 mampu melebihi 50 peratus pada pertengahan Mei ini.

“Dengan 40 juta orang yang perlu diuji iaitu satu peratus daripada penduduknya, dijangkakan kira-kira 20,000 hasil negatif adalah palsu,” tambahnya.

Justeru katanya, doktor perlu membuat diagnosis lengkap tanpa hanya bergantung pada kit ujian semata-mata, sebaliknya perlu memeriksa gejala, sejarah kontak rapat, imbasan dan ujian makmal lain.

Sementara itu, doktor kecemasan di Johns Hopkins Hospital di Baltimore, Daniel Brenner, berkata selepas ujian dan prosedur bronchoalveolar lavage, ada pesakit mempunyai gejala Covid-19 tetapi keputusan ujiannya tiga kali negatif.

“Justeru, selepas pesakit dimasukkan kamera bagi memeriksa paru-parunya, baru ujian yang diperoleh menunjukkan positif.

“Perkara yang membimbangkan ialah diagnosis negatif kepada seseorang yang sebenarnya positif dikhuatiri mendedahkan jangkitan kepada orang sekeliling,” katanya. – AFP

Suara Sarawak