Ujian percubaan klinikal Covid-19 HUS akan dijalankan mengikut standard berkelas dunia

KUCHING: Protokol ujian percubaan klinikal Covid-19 Hospital Umum Sarawak (HUS) telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Penyelidikan Perubatan (MREC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan dijalankan mengikut standard berkelas dunia.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing, dalam percubaan tersebut subjek akan mendapat 50 peratus peluang untuk disuntik dengan vaksin, manakala 50 peratus lagi kemungkinan untuk disuntik dengan plasebo.
“Spesifikasi ujian klinikal ini akan dibincangkan bersama subjek yang terpilih dan dihubungi secara individu untuk datang ke HUS.
“Hanya selepas perbincangan dan individu tersebut bersetuju untuk mengambil bahagian, barulah ia secara rasmi dapat dimasukkan dalam percubaan klinikal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan beliau itu adalah penjelasan mengenai ujian percubaan klinikal Covid-19 HUS yang dilaporkan Suara Sarawak semalam mengenai JKNS sedang merekrut seramai 400 sukarelawan untuk percubaan vaksin Covid-19 yang dijangka bermula pada awal hingga pertengahan Januari ini.
Tegasnya, HUS sememangnya diketahui umum dengan perkhidmatan klinikal, latihan kepada profesional kesihatan dan tempat untuk ujian klinikal yang berkelas dunia serta mempunyai sebuah pusat khusus untuk penyelidikan klinikal (CRC).
“HUS juga salah satu daripada sembilan pusat penyelidikan di bawah seliaan KKM yang dipilih untuk menjalankan ujian klinikal bertaraf antarabangsa ini.
“Ujian klinikal adalah proses penting dan asas dalam perkembangan rawatan perubatan baharu, termasuklah vaksin Covid-19.
“Dalam ujian klinikal ini, vaksin berkenaan dibangunkan oleh Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS),” ujarnya.
Tambahnya, Malaysia adalah salah satu negara yang dipilih oleh IMBCAMS untuk bekerjasama dengan mereka dalam bidang sains perubatan semasa wabak ini, dan membabitkan 3,000 subjek bagi ujian klinikal ini.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk pautan https://www.nmrr.gov.my/fwbPage.jsp?fwbPageId=PublicDirectoryOfMedicalResearc hForm&fwbAction=View&pager.offset=0&pk.uuid=713ae7896878f6d7b21073a95d79
08e5&uk.uuid=713ae7896878f6d7b21073a95d7908e5.

Suara Sarawak