ARTIKEL

Ukur poket sebelum kahwin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SAYA terbaca satu luahan di TikTok yang membuat saya berhenti seketika.

Seorang bekas isteri berkongsi tentang sesuatu yang katanya baru disedarinya selepas melalui sebuah perkahwinan.

Dalam rumah tangga, katanya, duit itu penting.

Bukan kerana cinta tidak penting, tetapi kerana selepas lafaz cinta dan akad nikah, kehidupan sebenar bermula.

Kata-kata sayang tidak mampu membayar bil.

Pelukan tidak dapat mengisi peti ais yang kosong.

Dan janji untuk hidup bersama susah senang akhirnya perlu diterjemahkan kepada tanggungjawab.

Ada satu ayat yang menarik perhatian saya, lelaki tidak seharusnya menjadi miskin kerana dunia memang jahat dengan lelaki miskin.

Bunyinya agak keras, tetapi di sebalik ayat itu, ada satu realiti yang mungkin tidak selesa untuk kita akui.

Perkahwinan memerlukan wang.

Rumah perlu dibayar.

Bil perlu dijelaskan.

Dapur perlu berasap.

Anak-anak perlu makan, belajar dan mendapatkan rawatan apabila sakit.

Sebab itu, wang bukan segala-galanya dalam perkahwinan, tetapi berpura-pura seolah-olah wang tidak penting juga satu bentuk penipuan terhadap realiti.

Saya ada kawan di Miri, seorang lelaki.

Gajinya tidak besar.

Dia bukan orang berada.

Dia tidak mampu membawa keluarganya bercuti setiap tahun atau membeli segala yang diminta anak-anak.

Tetapi setiap bulan, perkara pertama yang difikirkannya ialah rumah.

Cukupkah duit untuk makan?

Cukupkah untuk membayar bil?

Cukupkah untuk keperluan anak-anak?

Dia mungkin tidak mampu memberikan kemewahan tetapi dia berusaha memberikan rasa selamat.

Bukankah itu juga satu bentuk cinta?

Saya mengaguminya.

Mungkin terlalu sederhana, namun dia berusaha memenuhi keperluan keluarga.

Lelaki juga boleh penat. Boleh takut.

Boleh kecewa. Boleh jatuh.

Tetapi sejak kecil, ramai lelaki diajar untuk tidak terlalu menunjukkan kelemahan.

Apabila kehilangan pekerjaan, perniagaan merosot atau duit tidak cukup, mereka sering memilih untuk diam dan terus bekerja.

Kadang-kadang dia hanya duduk seorang diri di dalam kereta selepas pulang kerja, memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang tidak mampu diceritakannya kepada sesiapa.

Dunia mungkin lebih keras kepada lelaki yang tidak mempunyai wang.

Bukan kerana lelaki miskin tidak mempunyai nilai, tetapi kerana masyarakat sering mengukur seorang lelaki berdasarkan apa-apa yang mampu diberikannya.

Apabila ekonomi jatuh, rasa hormat juga kadang-kadang boleh berubah.

Namun begitu, bukan semua lelaki yang miskin itu malas.

Bukan semua lelaki yang tidak mampu memberikan kemewahan kepada keluarga, bermakna dia tidak mencintai keluarganya.

Kecuali seorang yang juga saya kenal, lain daripada yang lain.

Lelaki yang enggan bekerja walaupun mampu membanting tulang kerana mengharap sepenuhnya gaji isteri.

Sedangkan dalam masa sama, masih banyak lelaki yang sedang berjuang dengan kemampuan yang ada.

Ada yang jatuh berkali-kali tetapi tetap bangun setiap pagi kerana tahu ada keluarga yang bergantung kepadanya.

Kemiskinan tidak seharusnya menjadi alasan untuk berhenti mencuba.

Kita mungkin tidak memilih keluarga tempat kita dilahirkan dan tidak mampu mengawal semua keadaan dalam hidup.

Tetapi kita masih boleh belajar, bekerja, berjimat dan berusaha memperbaiki kehidupan.

Tidak perlu menjadi kaya.

Cukuplah menjadi lelaki yang bertanggungjawab.

Seorang isteri mungkin tidak meminta jutaan ringgit.

Kadang-kadang dia hanya mahukan rasa selamat.

Apabila anak sakit, ada wang untuk dibawa ke klinik.

Apabila peti ais kosong, ada usaha untuk mengisinya.

Apabila hidup menjadi susah, suaminya tidak melarikan diri.

Jadi, apabila seseorang berkata duit itu penting dalam perkahwinan, ia bukan bermaksud wang boleh menggantikan cinta.

Kepada lelaki muda, jangan hanya belajar bagaimana hendak mendapatkan pasangan.

Belajarlah juga bagaimana hendak membina kehidupan.

Belajar menyimpan, mengurus wang dan untuk wanita, termasuk diri sendiri, jangan menilai lelaki hanya kerana jumlah wang yang ada di dalam dompetnya.

Lihat juga bagaimana dia berusaha.

Lihat bagaimana dia melayan keluarga dan lihat bagaimana dia bertanggungjawab ketika susah.

Dia mungkin tidak mampu memberikan dunia kepada isterinya.

Tetapi jika dia sanggup bekerja keras untuk memberikan kehidupan yang lebih baik, mungkin itulah cinta paling jujur yang mampu diberikannya.

Kemiskinan bukan bermakna seseorang itu gagal.

Yang lebih menyedihkan ialah apabila seseorang mempunyai peluang untuk berusaha tetapi memilih untuk berputus asa.

Setiap orang bermula dari garisan yang berbeza.

Ada yang bermula dengan kelebihan.

Ada yang bermula dengan kekurangan.

Ada yang terpaksa berjalan lebih perlahan.

Tidak mengapa berjalan perlahan, asalkan terus bergerak. 

Lelaki tidak perlu menjadi kaya untuk dihormati.

Dia hanya perlu mempunyai maruah untuk bekerja, keberanian untuk bangkit dan hati yang tidak melupakan mereka yang bergantung kepadanya.

Perkahwinan juga tidak memerlukan manusia yang sempurna.

Ia memerlukan dua orang yang tidak mudah melepaskan tangan apabila cinta mula diuji oleh kehidupan.

Cinta mungkin membawa dua manusia ke jinjang pelamin.

Tetapi tanggungjawablah yang menentukan sejauh mana mereka mampu berjalan bersama selepas itu.

Jadi lelaki bagaimana yang kita pilih untuk dijadi menantu?

Tiada siapa mampu menjawab. Noktah.

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road