GUA MUSANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menangkap seekor ular sawa seberat lebih 100 kilogram selepas reptilia itu membaham seekor kambing di Kampung Batu Papan, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata ular sepanjang kira-kira 4.57 meter itu ditemui berada di dalam kandang kambing.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.33 pagi sebelum empat anggota dikerahkan ke lokasi. Operasi menangkap reptilia itu mengambil masa kira-kira 10 minit.
Ular berkenaan dipercayai masih berada di dalam kandang selepas membaham seekor kambing milik penduduk.
Reptilia itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut lapor Bernama.


