KUCHING: Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyifatkan kejayaan Ummi Mashitah Hassan melangkah ke peringkat akhir sebagai pencapaian yang amat bermakna buat kem silat negara.
Menurut beliau, kejayaan tersebut dianggap lebih bernilai memandangkan perlawanan berkenaan berlangsung dalam suasana yang cukup mendebarkan selain menuntut daya ketahanan mental yang tinggi.
“Pertandingan paling mendebarkan sudah tentu melibatkan Ummi.
“Apabila kedua-duanya terikat dan keputusan ditentukan dalam tempoh satu saat, Alhamdulillah Ummi berjaya melayakkan diri ke final,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa barisan kejurulatihan serta pengurusan sentiasa meletakkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan Ummi yang mempamerkan ketenangan luar biasa ketika berdepan situasi genting.
“Kami memang yakin dengan Ummi. Keupayaannya mengawal emosi dan kekal fokus menjadi faktor penting yang membezakan beliau dalam perlawanan tadi,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran di pentas final, Datuk Megat menegaskan kemaraan pesilat itu secara tidak langsung memberi suntikan moral yang besar kepada seluruh kontinjen silat negara.
“Kejayaan ini selari dengan sasaran PESAKA untuk meraih dua pingat emas daripada keseluruhan 13 acara yang dipertandingkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kekecewaan pasukan susulan keputusan melibatkan seorang lagi pesilat negara, Farah, sebelum ini namun menegaskan fokus kini harus terarah sepenuhnya kepada aksi yang berbaki.
“Apa yang berlaku kita terima atas semangat kesukanan.
“Sekarang tumpuan diberikan kepada pesilat yang masih bertarung, termasuk Ummi, untuk memastikan mereka mendapat sokongan penuh,” katanya.
Tambah beliau, dalam sukan subjektif seperti pencak silat, keputusan yang mencetuskan perdebatan kadangkala sukar dielakkan, namun perkara paling utama adalah memastikan atlet terus bermotivasi.
“Peringkat akhir nanti sudah tentu mencabar, tetapi saya percaya Ummi mampu memberikan aksi terbaik dan berjuang habis-habisan demi negara,” katanya.



