KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
UMNO turut menjelaskan perjanjian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat kerajaan negeri yang ditubuhkan sebelum gabungan itu diwujudkan.
Menurut parti itu, keputusan mempertahankan mandat kerajaan negeri bukan satu bentuk pengkhianatan terhadap Kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama, UMNO menyatakan kesediaan menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat seperti dipetik dari BERNAMA.



