KUCHING: Undang-undang perkahwinan masyarakat bukan Islam di Malaysia memperuntukkan seseorang individu hanya boleh berkahwin dengan seorang pasangan sahaja.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat (KPWK), Datuk Seri Fatimah Abdullah, undang-undang itu terpakai kepada dua jenis perkahwinan masyarakat bukan Islam di negara ini, sama ada melalui undang-undang sivil atau mengikut adat istiadat.
“Dari segi undang-undang perkahwinan sivil, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menetapkan seorang individu hanya boleh berkahwin dengan seorang pasangan sahaja.
“Begitu juga dengan perkahwinan yang diupacarakan di bawah adat istiadat.
“Namun peraturan berlainan diperuntukkan bagi masyarakat Islam, ia ada undang-undang tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini hari ini ketika ditanya pemberita tentang berita tular mengenai seorang lelaki berbangsa Cina yang berkahwin serentak dengan dua wanita.
“Namun sekiranya gambar-gambar yang tular itu hanya majlis jamuan makan, ia lain cerita lah. Saya sendiri tidak begitu pasti sebenarnya. Biarlah pasangan yang berkahwin itu menyelesaikan sendiri masalah mereka.
“Tetapi yang pasti dari sudut undang-undang perkahwinan sivil, JPN sudah jelas memperuntukkan peraturan tersendiri bagi masyarakat bukan Islam,” jelasnya.
Terdahulu hari ini, tular di Facebook mengenai seorang lelaki yang dikenali sebagai Lim Soon Kien, pemilik kedai makan mi kolok di sini, yang mengahwini dua isteri serentak.
Beberapa gambar Lim bersama dua orang wanita, yang lengkap dalam persalinan perkahwinan, dikatakan diambil ketika upacara jamuan makan di sebuah restoran di Jalan Simpang Tiga di sini, kelmarin.
Rata-rata netizen turut mempersoalkan kesahan status perkahwinan tersebut di sisi undang-undang kerana isu berkahwin lebih daripada satu ini biasanya dikaitkan dengan umat Islam.
Untuk rekod, berdasarkan portal rasmi JPN seperti yang dinyatakan dalam soalan lazim, semua perkahwinan bukan Islam di negara ini wajib didaftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, Akta 164 dan bersifat monogami.
Perkahwinan monogami bermaksud selepas tarikh kuatkuasa Akta 164 pada 1 Mac 1982, seseorang yang telah berkahwin secara sah di bawah undang-undang tidak boleh berkahwin lagi secara sah dengan seseorang lain semasa perkahwinan itu masih berterusan sama ada di Malaysia atau di mana-mana negara lain.





