KUCHING: Kerajaan perlu menggubal atau meminda undang-undang sedia ada yang mengawal selia pengagihan tenaga tanpa wayar seiring dengan kemajuan teknologi masa kini.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, undang-undang sedia ada mesti selaras dengan perkembangan teknologi moden untuk mengelakkan penyaluran tenaga tanpa wayar dieksploitasi dan dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
“Penyelidikan mengenai teknologi yang membolehkan tenaga dipindahkan ke tempat lain tanpa menggunakan kabel atau wayar kini sedang dikaji oleh syarikat Siemens dengan kerjasama Universiti Swinburne Australia.
“Fungsi dan cara operasinya sama seperti wi-fi. Jika ini menjadi kenyataan kita terpaksa merangka, menggubal atau meminda undang-undang berkaitan tenaga yang relevan dengan keadaan semasa.
“Oleh itu kerajaan perlu mempunyai undang-undang yang dapat mengawal selia penjanaan dan pengagihan tenaga kerana sekiranya tidak dikawal, tenaga dapat dipindahkan atau dihantar secara haram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2924 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Tambahnya, bidang kuasa undang-undang itu bergantung kepada tahap tadbir urus di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Kawal selia ini terpulang kepada bidang kuasa masing-masing, kalau ia terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan kita akan mengikut undang-undang mereka.
“Sebagai kerajaan, kita mesti menggubal undang-undang yang relevan dengan kemajuan semasa termasuk bidang lain seperti Internet untuk memerangi jenayah siber, penipuan dalam talian dan sebagainya.
“Kita perlu mewujudkan undang-undang untuk menyelia dan mengawal selia industri baru muncul ini,” tegasnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkongsi mengenai penemuan baharu iaitu tenaga dapat dihantar dari satu lokasi ke lokasi lain tanpa menggunakan kabel atau wayar.
“Ini bermakna tenaga dari Rumah A ke Rumah B dan Rumah C tidak memerlukan kabel atau grid.
“Teknologi yang sama seperti bank kuasa ini sedang dalam penyelidikan, dan Sarawak juga akan menjalankan penyelidikan serupa. Oleh itu, undang-undang kita mesti berkembang,” tegasnya.

