
SIBURAN: Calon Pakatan Harapan (PH) Diog Dios optimis partinya berupaya membentuk kerajaan semula berikutan pengundi berumur 18 akan beralih sokongan kepada mereka.
Bekas guru berumur 55 tahun itu berkata, maklum balas yang diterima oleh Pakatan Harapan diperingkat persekutuan bahawa pengundi umur 18 akan memihak kepada mereka.
“Saya percaya Pakatan Harapan boleh menubuh kerajaan persekutuan, kita menerima maklumat lebih kurang 78 peratus kemenangan kita.
“Kita (PH) akan mempunyai peluang untuk mendapatkan semula Puncak Borneo dengan pengelibatan undi 18,” katanya ketika ditemui media selepas menyerah borang pencalonan di pusat penamaan calon Puncak Borneo, Pejabat Daerah Siburan, di sini hari ini.
Justeru beliau berkata, pengundi-pengundi di Parlimen Puncak Borneo bersama mengambil peluang menunaikan kewajipan pada 19 November nanti.
Beliau berkata, pengundi tidak harus tergopoh-gapah dan terburu-buru untuk membuang undi mereka.
“Undi ini adalah undi kita, jadi gunakan sebaiknya, bukan setakat untuk kita tetapi untuk generasi masa hadapan,” ujarnya.





