PETRA JAYA: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Metro City Square melalui undian pemilik unit apartmen, memutuskan sewaan jangka pendek atau airbnb serta pengoperasian rumah inap dibenarkan dijalankan di hartanah tersebut.
Mesyuarat berlangsung pada Khamis di Dewan Auditorium, Muzium Budaya Borneo Kuching bermula 9.45 pagi.
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Metro City Square 2024, Dr. Mohd Afiq Aizuddin Sarun ketika dihubungi media mengesahkan, pengundian melalui pilihan “ya” atau “tidak” membenarkan sewaan jangka pendek atau airbnb serta pengoperasian rumah inap, mendapat sokongan majoriti “ya” melebihi 75 peratus syarat aktiviti tersebut dijalankan.
Sebelum itu, Mohd Afiq bersama-sama 12 lagi pemilik unit apartmen memenangi pengundian untuk dilantik memegang jawatan dalam JMB Metro City Square 2024.
Turut hadir sebagai pemerhati dalam mesyuarat berkenaan ialah wakil Dewan Bandar Raya Kuching Utara (DBKU) serta Kementerian Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak diwakili Timbalan Pesuruhjaya Bangunan, Salena Sulaiman.
Selain Mohd Afiq dilantik sebagai Pengerusi, mesyuarat jawatankuasa terpilih turut menyaksikan jawatan Bendahari disandang oleh Khairool Adzelan Aman. Manakala, Setiausaha disandang oleh Siti Hudzimah Bujang.
AJK lain terpilih ialah Sufian Mohamad, Puteri Wardeena Salma Sufian, Bibi Waheeda Arman Khan, Rumy Aliza Rosdi, Sazali Unus, Norjanah Ahmad, Hasri Dawi, Mohd Sharul Suibun, Dayang Juwita Awang Jokipli serta wakil pihak pemaju CKH.




