KUCHING: Dua sekolah di kawasan Kota Sentosa menerima peruntukan berjumlah RM225,707 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran dan keselesaan pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, SJK(C) Sam Hap Hin menerima RM125,707, manakala SK St Alban, Sungai Tapang menerima RM100,000.
Bantuan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak menyokong institusi pendidikan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran lebih baik.
Katanya, pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk generasi muda berpengetahuan, berdisiplin dan berupaya menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas bantuan menerusi UNIFOR bagi memenuhi keperluan masyarakat dan institusi pendidikan.
“Pendekatan pembangunan yang mengutamakan rakyat menerusi prinsip Utamakan Sarawak dan Jaga Sarawak, Intu Sarawak perlu diterjemahkan melalui tindakan serta bantuan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Usaha itu selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan modal insan, kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negeri secara mampan.
Wilfred menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri, agensi berkaitan dan masyarakat setempat bagi memastikan keperluan sekolah di Kota Sentosa diberi perhatian demi memperluas peluang pendidikan kepada generasi akan datang.



