Uniknya Pekan Siniawan

BAU: Menjejakkan kaki ke Pekan Siniawan umpama kembali ke masa silam.

Kunjungan ke pekan ini pasti akan membangkitkan perasaan nostalgia.

Pekan ini merupakan sejarah kekal yang bangunan kedai yang dibina menggunakan kayu belian.

Kedai-kedai ini dibina lebih 160 tahun lalu.

Pekan ini menjadi saksi sejarah pembangunan perhubungan dari Kuching ke Bau menggunakan Sungai Sarawak Kanan sebelum jalan raya Kuching-Bau dibina.

FOTO: GHAZALI BUJANG

Terletak lebih 26 kilometer dari Kuching, Pekan Siniawan ini terkenal dengan pasar malamnya – Pasar Malam Siniawan yang diperkenalkan sejak 15 Oktober 2010.

Tahun ini memasuki tahun ke-10 pembukaannya.

Malah sepanjang pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih 80 peniaga di pekan ini turut menerima tempias.

Operasi mereka terpaksa ditutup dan kawasan tumpuan ramai ini mulai lengang.

Kapitan Pekan Siniawan Bong Boon Koh berkata, semua peniaga terpaksa menutup operasi mereka sejak 17 Mac lalu.

Jelasnya, peniaga kini masih menunggu pengumuman lanjut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengenai prosedur standard operasi standard (SOP) bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan.

“Sepanjang PKP, memang kita tidak benarkan perniagaan dijalankan. Notis juga ada dikeluarkan. Apa yang pasti, semua peniaga di sini tetap tabah bertahan walaupun tempoh tersebut terlalu lama.

“Sekiranya mahu membuka semula kedai, kita perlu tunggu SOP daripada JPBN.

“Semalam kita bawa bomba dan penyelamat Bau untuk melakukan sanitasi bagi memastikan kawasan ini bersih sekiranya ia dibuka semula kelak,” katanya kepada Suara Sarawak.

FOTO: GHAZALI BUJANG

 

GERAI MAKANAN ISLAM

Pasar Malam Siniawan menjadi tumpuan orang ramai yang ingin lari daripada kesibukan kota dan tempat bagi sesiapa sahaja yang ingin meluangkan masa bersama-sama keluarga dan rakan.

“Biasanya kita buka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dari jam 4.30 petang hingga 10.00 malam. Pada waktu siang, tidak ramai yang mengunjungi pekan ini.

“Dengan lebih 80 peniaga, Pasar Malam Siniawan menjadi tumpuan pengunjung untuk merasai pelbagai makanan yang dijual.

“Terkini menerusi perbincangan dengan salah seorang pemilik kedai, kami merancang untuk membuka satu gerai makanan Islam yang akan diperkenalkan selepas PKP ditamatkan,” dedahnya lagi.

Sepanjang PKP dikuatkuasakan, pihaknya bersama-sama semua peniaga turut memohon Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Kini 98 peratus permohonan telah diluluskan, dan menanti tindakan selanjutnya.

LALUAN MASUK DIHADKAN

Boon Kah turut memaklumkan bahawa SOP untuk aktiviti perniagaan pasar malam di Pekan Siniawan akan dibincangkan dengan JPBNS dan akan dikeluarkan pada 26 Jun ini.

“Berdasarkan perancangan awal, hanya dua laluan akan dibuka di pekan ini berbanding empat laluan sebelum ini.

“Selain itu, sebaik sahaja pengunjung memasuki dua laluan ini ke pekan ini, mereka perlu patuh SOP yang ditetapkan.

“Antaranya suhu badan perlu diperiksa, tangan disanitasi, nama dan nombor telefon perlu dicatat.

“Apabila perbincangan dibuat untuk meneliti setiap garis panduan di pekan ini, SOP yang akan dikeluarkan oleh kerajaan ini akan diperhalusi.

“Oleh itu, kami akan memulakan operasi perniagaan pada 26 Jun ini,” jelasnya.

Beliau berharap dengan pembukaan semula pasar malam tersebut, pengunjung yang akan ke Pasar Malam Siniawan terus patuh dengan SOP yang dikuatkuasakan.

“Ini untuk membantu meningkatkan kembali ekonomi dan produk pelancongan domestik di negeri ini,” tambahnya.

FOTO: GHAZALI BUJANG