KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyasarkan untuk mengangkat Borneo sebagai makmal hidup biodiversiti bertaraf dunia menerusi pembangunan Biodiversity Nexus Blueprint.
Menurut kenyataan UNIMAS, usaha berkenaan akan memperkukuh kedudukan universiti itu sebagai peneraju serantau dalam penyelidikan, inovasi, dasar dan pembangunan mampan berasaskan biodiversiti.
Usaha itu diperkukuh menerusi Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh Biodiversity Nexus Blueprint yang menghimpunkan wakil agensi kerajaan, industri, institusi penyelidikan, komuniti dan ahli akademik bagi memperhalusi hala tuju pelan strategik berkenaan.
Seramai 69 peserta menyertai sesi itu, terdiri daripada 18 wakil daripada 13 agensi dan organisasi luar serta 51 kakitangan akademik dan profesional UNIMAS yang mewakili pelbagai bidang kepakaran termasuk pemuliharaan biodiversiti, penyelidikan, dasar awam, kelestarian dan keterlibatan komuniti.
Biodiversity Nexus Blueprint merupakan kerangka strategik universiti yang meletakkan biodiversiti sebagai pemacu utama kecemerlangan penyelidikan, inovasi, pembangunan lestari dan kesejahteraan masyarakat.
Pendekatan berkenaan mengintegrasikan sains, dasar, komuniti, industri dan teknologi.
Blueprint itu dibangunkan berteraskan enam teras strategik, iaitu Biological Conservation, BioSociety, BioHealth, BioEconomy, Biodiversity in Achieving Net Zero serta BioData Management, Ethics and Legislation.
Kesemua teras itu saling melengkapi dalam memperkukuh pemuliharaan ekologi, kesejahteraan masyarakat, kesihatan awam, tadbir urus beretika, daya tahan iklim, pembangunan ekonomi berasaskan bio dan pengurusan data biodiversiti.
Pelan berkenaan turut diselaraskan dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dengan memberi penekanan terhadap kelestarian alam sekitar, ekonomi hijau dan pembangunan inklusif.
Ia juga menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), agenda global Nature Positive serta usaha meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim.
Sesi libat urus itu dilaksanakan menerusi pendekatan konsultatif bagi mendapatkan pandangan pemegang taruh dalam memperhalusi keutamaan strategik, laluan pelaksanaan, peluang kerjasama, mekanisme tadbir urus, petunjuk prestasi utama (KPI) serta impak yang disasarkan sebelum blueprint berkenaan dimuktamadkan.
Turut diadakan Pameran Biodiversiti UNIMAS yang menampilkan lebih 15 produk penyelidikan, teknologi dan poster penyelidikan daripada Pusat Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE), University Sustainability Centre (USC), institut penyelidikan serta fakulti universiti.
Melalui Biodiversity Nexus Blueprint, UNIMAS beriltizam membangunkan ekosistem biodiversiti yang menggabungkan kecemerlangan penyelidikan, pengetahuan masyarakat tempatan dan komuniti adat, inovasi teknologi, tadbir urus beretika serta jaringan kerjasama strategik bagi menjadikan Borneo sebagai pusat rujukan antarabangsa dalam penyelidikan dan inovasi biodiversiti.


