KOTA SAMARAHAN: Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus menyemarakkan industri seni teater tempatan menerusi projek Spirit Beyond Silence yang mengisahkan isu hak wanita dan dipentaskan pada 19 dan 20 Jun lalu.
Pementasan selama dua hari yang diadakan di Panggung Experimental UNIMAS itu berjaya menarik perhatian penonton menerusi tiga pementasan, iaitu Rumah Tumpang arahan Azri Ali, Di Sebalik Pintu Papan arahan Madzlan Abet dan Resonansi arahan Qawiem Hamizan.

Teater Resonansi mengisahkan seorang wanita bernama Salina yang berdepan tekanan keluarga dan masyarakat untuk berkahwin.
Selepas mendirikan rumah tangga dengan Haris, Salina menjadi mangsa penderaan rumah tangga.
Akhirnya, Salina memilih untuk mempertahankan maruah dan keselamatan dirinya dengan mendedahkan kebenaran.
Teater ini mengetengahkan isu tekanan sosial, stereotaip gender dan keganasan rumah tangga.
Teater Rumah Tumpang pula mengisahkan Siti, seorang kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga yang bergelut dengan keganasan rumah tangga.
Selepas kehilangan ibunya dan ditempatkan di rumah anak yatim, Siti masih menyimpan harapan untuk kembali bersama bapanya. Namun, sebuah tragedi meragut nyawanya sebelum impian itu tercapai.
Teater terakhir, Di Sebalik Pintu Papan, menceritakan kehidupan beberapa wanita di sebuah perkampungan setinggan yang terperangkap dalam keganasan rumah tangga, manipulasi agama dan penderaan.
Ernie hidup di bawah kekejaman Augustine, Azimah dan Karen menjadi mangsa tipu daya Stanley yang berselindung di sebalik agama, manakala Rasyiqah pula menderita akibat suaminya, Joanes, yang ketagih dadah.
“Dalam konteks ini, teater berfungsi sebagai cerminan sosial yang mengangkat realiti yang sering berlaku di ruang rumah dan komuniti, tetapi jarang dibincangkan secara terbuka,” kata Qawiem.
Projek ini membuktikan bahawa berdiam diri tidak bermakna reda, sebaliknya merupakan satu kebiasaan sosial yang diwarisi merentasi generasi tanpa disedari.
Melalui pendekatan Teater dalam Pendidikan (TIE), pementasan ini melibatkan pelajar tahun satu dan dua kursus Drama dan Teater sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran praktikal.
Pementasan ini turut mendapat kerjasama penuh daripada UNIMASTAGE, Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengukuhkan pemahaman masyarakat terhadap isu sosial yang diketengahkan.






