ARTIKEL

UNIMAS bantu suri rumah jana pendapatan tambahan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: UNIMAS terus memperkukuh peranan sebagai institusi pemangkin pembangunan komuniti melalui Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) dengan menganjurkan program “Wash Well, Waste Less” di Kampung Semera, Asajaya, pada Rabu.

Program tersebut dilaksanakan hasil pembiayaan Geran Komuniti@UniMADANI 2025 di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Ia bertujuan untuk memperkasa komuniti luar bandar menerusi pendekatan chemipreneur — gabungan inovasi kimia dan keusahawanan sosial bagi menjana ekonomi setempat.

Ketua projek, Dr. Ain Nadirah Romainor berkata, bengkel tersebut merupakan langkah awal ke arah membina komuniti yang lestari dan berdikari.

“Melalui bengkel ini, kami ingin menunjukkan bahawa bahan buangan seperti minyak masak terpakai sebenarnya mempunyai nilai ekonomi yang boleh dimanfaatkan.

“Ia bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran, tetapi juga membuka peluang keusahawanan baharu kepada penduduk kampung,”ujarnya.

Program berkenaan turut disertai pakar kimia dan keusahawanan FSTS iaitu Prof. Dr. Zainab Nagaini, Dr. Faizan Iza, Dr. Mugunthan dan Dr. Junidah, yang membimbing peserta menghasilkan sabun mesra alam daripada minyak masak terpakai.

Peserta bengkel yang hanya mahu dikenali sebagai Noraini berkata, sabun yang dihasilkan amat berkesan menanggalkan kotoran degil pada pakaian.

“Saya pernah menggunakan sabun biasa yang dijual di pasaran, tetapi kesan cat pada pakaian tidak hilang. Apabila saya gunakan sabun yang kami hasilkan semasa bengkel, ternyata ia mampu menanggalkan kesan cat sepenuhnya,” katanya teruja.

Kumpulan pakar pembimbing bergambar kenang-kenangan bersama penduduk kampung.

Seorang lagi peserta, Ayang turut berkongsi pengalaman menggunakan sabun tersebut untuk mencuci pinggan mangkuk.

“Ia berbuih dan sangat berkesan, sama seperti sabun komersial,” ujarnya.

Sementara itu, Puan Ara dan Puan Ema, berkata sabun tersebut lebih menjimatkan dan berpotensi dikomersialkan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU