ARTIKEL

Hata ketika berucap pada pelancaran UNIMAS DEX Hub, di Bangunan PeTARY, UNIMAS, di sini, hari ini. Foto: GHAZALI BUJANG

UNIMAS Cipta Sejarah, Universiti Pertama Malaysia Lancar DEX Hub

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mencipta sejarah apabila menjadi universiti pertama di Malaysia mewujudkan Digital Experience Hub (DEX Hub) dalam usaha memperkasa kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan pembangunan bakat selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, pelancaran DEX Hub hari ini bukan sekadar menaik taraf kemudahan fizikal universiti, malah merupakan satu lonjakan strategik yang berani ke arah masa hadapan digital.

Katanya, menerusi kerjasama dengan Google, seramai 70 kakitangan UNIMAS berjaya memperoleh pensijilan Google Certified Educator (GCE) tahap satu dan tahap dua.

“Kami juga berbangga kerana kohort pertama yang terdiri daripada 40 ahli akademik menamatkan latihan mereka pada tahun lalu, sekali gus menjadikan UNIMAS universiti pertama di Malaysia yang berjaya memperakui kakitangannya di bawah program ini,” katanya ketika berucap pada pelancaran UNIMAS DEX Hub, di Bangunan PeTARY, UNIMAS, di sini, hari ini.

Tambahnya, melalui kerjasama strategik ini, UNIMAS menubuhkan Google Chrome Experience Centre serta memperkenalkan program Chrome Grab-and-Go di seluruh kampus, menjadikan universiti tersebut sebagai perintis di Malaysia yang melaksanakan inisiatif seumpama ini.

“Visi ini akan direalisasikan menerusi dua fasa utama. Fasa pertama ialah penubuhan Google Chrome Experience Centre yang terletak di DEX Hub, membolehkan pelajar dan pensyarah mengakses secara langsung ekosistem ChromeOS, Chromebook, Google Workspace dan Gemini AI.

“Fasa kedua ialah pelaksanaan Program Chrome Grab-and-Go yang akan memperluas akses kepada kemudahan digital ke setiap fakulti. Menerusi sistem pinjaman kiosk bersepadu menggunakan kad pengenalan universiti.

“Inisiatif ini juga menghapuskan halangan penggunaan teknologi serta memastikan semua pelajar mendapat akses digital yang saksama di mana-mana sahaja di dalam kampus,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, dengan mengintegrasikan Gemini AI dan teknologi berasaskan awan (cloud-first) juga, UNIMAS sedang mengubah landskap pendidikan secara menyeluruh.

Menurutnya, seramai 2,000 kakitangan dan lebih 18,000 pelajar kini diperkasakan untuk memanfaatkan kecerdasan buatan dalam penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, analisis data serta penyelesaian masalah secara kreatif.

“Saya amat berbesar hati kerana DEX Hub ini direka khusus bagi meletakkan UNIMAS sebagai sebuah ‘Google Reference University’ sekali gus menyerlahkan kedudukan universiti ini bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat serantau,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah menyempurnakan pelancaran UNIMAS DEX Hub, sekali gus menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Kerjasama (MoC) antara UNIMAS dengan pihak berkaitan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU