Unimas jalin kolaborasi dengan Suara Sarawak, New Sarawak Tribune

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan bekerjasama dengan New Sarawak Tribune (NST) dan Suara Sarawak (SS) untuk meningkatkan kedudukannya di pentas global.
Pengarah Unimas Global Profesor Madya Dr Shanti Faridah Salleh berkata, Unimas akan berusaha memainkan peranan yang lebih aktif sebagai penyedia kandungan, pengaturan yang lebih sistematik mengenai Unimas menjadi sebuah berita.
“Justeru, Unimas akan menyediakan bahan untuk dikeluarkan dalam kolum mingguan yang fokus kepada kajian kritikal.
“Kerjasama dengan NST dan SS dibangunkan kerana kita kenali organisasi ini cemerlang dalam pencungkilan bakat wartawan, menyediakan latihan dan bengkel berterusan termasuk dikenali kerana integriti persembahannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak selepas mengetuai rombongan kunjungan hormat Unimas Global di pejabat NST/ SS di sini semalam.
Rombongan juga disertai Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik dan Pejenamaan Unimas Global Dr Erniaa Marzuki, Penyelaras Unit Media Dr Lidyana Roslan dan Penolong Pegawai Penerbitan Sarena Haidir.
Rombongan disambut oleh Editor Eksekutif NST Rajah Murugaiah serta Editor Kanan Suara Sarawak Rohana Wahed serta beberapa editor termasuk wartawan.
Tambah Shanti, tiba masanya untuk Unimas meningkatkan sumber yang ada dan menentukan peranan masing-masing dengan jelas supaya dapat menjalin hubungan strategik demi kepentingan bersama.
“Saya harap kerjasama ini akan memberi kesan positif bagi NST, SS, dan Unimas.
“Unimas Global bertanggungjawab untuk penjenamaan semula dan menyerlahkan Unimas di peringkat antarabangsa,” jelasnya
Katanya, tujuannya ialah menjadikan Unimas dikenali di pentas dunia dan bertindak sebagai pemangkin Unimas untuk menjadi standard global. Beliau memberitahu, antara sasaran Unimas dalam Pelan Strategik 2021-2025 ialah mewujudkan pusat pembelajaran di luar negara untuk meningkatkan kedudukan dan mengangkat jenama Unimas di mata dunia.