KOTA SAMARAHAN: Rekod tanpa kalah dan dibolosi sepanjang kejohanan menghadiahkan gelaran juara futsal SUKAN IPT Sarawak 2026 kepada pasukan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Kejayaan itu menyaksikan UNIMAS membawa pulang pingat emas selepas mengharungi enam perlawanan dengan rekod cemerlang menjaringkan 14 gol.

Kapten pasukan, Mohamed Shahreza, berkata kejayaan tersebut merupakan hasil persiapan rapi serta kerjasama mantap seluruh pasukan.
“Alhamdulillah, ini hasil usaha semua pemain. Dengan taktikal jurulatih dan pengurusan pasukan yang terbaik.
“Kami berjaya kekal fokus sepanjang kejohanan, mengekalkan rentak permainan serta menamatkan saingan tanpa kalah dan bolos,” ketika ditemui Suara Sarawak.
Menurut beliau, pasukan menjalani latihan intensif selama dua minggu sebelum kejohanan dengan sesi latihan pada waktu pagi dan petang bagi memastikan tahap kecergasan serta keserasian pemain berada pada prestasi terbaik.
“Syabas kepada pengurus pasukan, Arif Mat, bersama-sama jurulatih Mohamad Sapian Mohammad Kassim yang turut memainkan peranan penting membentuk pasukan yang berdisiplin dan konsisten sepanjang kejohanan.
“Walaupun, sebahagian pemain bakal menamatkan pengajian selepas musim ini, pasukan merancang memulakan persiapan lebih awal dan sistematik sebagai usaha mempertahankan kejuaraan pada edisi akan datang,” ujarnya.
Dalam saingan peringkat kumpulan, UNIMAS menewaskan IKMAS 2-0 sebelum mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SIDMA. Pasukan itu kemudian membelasah Kolej Komuniti Miri 5-0 pada suku akhir dan menundukkan Politeknik Kuching 1-0 di separuh akhir.
Aksi final menyaksikan UNIMAS dan CENTEX terikat tanpa jaringan selepas tamat masa permainan sebelum juara ditentukan menerusi sepakan penalti yang memihak kepada UNIMAS dengan keputusan 5-4.
Kejohanan SUKAN IPT Sarawak 2026 berlangsung selama tiga hari, bermula 31 Julai hingga 2 Ogos di UNIMAS, melibatkan penyertaan institusi pengajian tinggi dari seluruh Sarawak.
Kejayaan pasukan futsal itu turut menyumbang pingat emas penting kepada kontinjen UNIMAS untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas mengumpul 12 pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa.




