KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) muncul juara keseluruhan SUKAN IPT Sarawak 2026 selepas mengumpul 12 pingat emas, dua perak dan tiga gangsa bagi keseluruhan 17 pingat untuk mengungguli temasya yang melabuhkan tirainya di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, hari ini.
Sementara itu, Politeknik Kuching menamatkan saingan sebagai naib juara keseluruhan dengan kutipan empat emas, tiga perak dan enam gangsa.
Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) berada di tempat ketiga selepas meraih dua emas, tujuh perak dan lima gangsa.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, kejohanan tersebut bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform memperkukuh pembangunan sukan mahasiswa, mencungkil bakat baharu serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.
“Temasya ini turut mempererat hubungan antara institusi pendidikan tinggi di Sarawak selain menyediakan ruang kepada atlet mahasiswa meningkatkan prestasi menerusi saingan yang lebih kompetitif,” katanya pada Majlis Penutupan Sukan IPT Sarawak, di sini pada semalam.
Menurutnya, penganjuran temasya ini juga bertujuan menyediakan lebih banyak peluang pertandingan kepada atlet institusi pengajian tinggi, sekali gus menjadi medan mengenal pasti bakat berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi serta memperkukuh pembangunan sukan di Sarawak.
Secara keseluruhan sebanyak 28 kontinjen mewakili universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik, TVET MARA, institut pendidikan guru dan kolej komuniti dari seluruh Sarawak menyertai temasya yang berlangsung selama empat hari bermula 30 Julai lalu.
Antara acara dipertandingkan ialah badminton, ragbi 7 sebelah, futsal, bola jaring, bola sepak, sepak takraw, orienteering dan petanque.
SUKAN IPT Sarawak 2026 dianjurkan menerusi kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah Kluster Borneo bagi memperkukuh ekosistem sukan berprestasi tinggi dalam kalangan mahasiswa.



