LAWAS: Keunikan bahasa, budaya dan identiti masyarakat Melayu dan Kedayan di Lawas menjadi fokus penyelidikan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi memastikan warisan masyarakat di utara Sarawak itu terus didokumentasikan.
Menurut kenyataan media UNIMAS hari ini, Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) bersama pemimpin masyarakat Melayu dan Kedayan di Lawas diadakan pada 13 Oktober bagi mendapatkan pandangan serta pengalaman masyarakat setempat.
Program itu merupakan sebahagian daripada penyelidikan bertajuk Bahasa, Budaya dan Identiti Masyarakat Melayu di Bahagian Limbang, Sarawak – diketuai Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) UNIMAS, Dr Dilah Tuah, bersama Timbalan Dekan FPBK, Dr Santrol Abdullah.
Dr Dilah berkata, FGD itu bertujuan memperkukuh dapatan kajian kuantitatif terdahulu melalui pendekatan kaedah campuran, selain meneliti hubungan bahasa, budaya dan pembentukan identiti masyarakat Melayu dan Kedayan.
Katanya, kedudukan geografi Lawas yang terpisah daripada kawasan utama penempatan masyarakat Melayu di selatan Sarawak, khususnya Kuching, serta hubungan sosial dan kekeluargaan yang rapat dengan Brunei menjadikan daerah itu penting untuk dikaji dari perspektif sosiolinguistik.
“Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi turut mencerminkan sejarah, hubungan kekeluargaan dan jati diri sesebuah masyarakat,” katanya.
Perbincangan itu merangkumi enam tema utama, iaitu sejarah masyarakat; penggunaan bahasa dan dialek; budaya, adat dan warisan; identiti masyarakat sempadan; hubungan sosial dan pengaruh sempadan; serta kelangsungan bahasa, budaya dan identiti.
Sebanyak 25 soalan utama digunakan untuk meneliti sejarah penempatan, perubahan penggunaan bahasa antara generasi, pengaruh bahasa Melayu Brunei terhadap pertuturan masyarakat setempat serta pewarisan adat dan budaya kepada generasi muda.
Dapatan awal menunjukkan masyarakat Melayu dan Kedayan di Lawas menyesuaikan penggunaan bahasa mengikut situasi, tempat dan hubungan sosial. Bahasa Melayu Brunei turut memainkan peranan penting dalam komunikasi harian susulan hubungan kekeluargaan dan pergerakan penduduk antara Lawas dengan Brunei.
Dalam aspek budaya, sebahagian adat dan amalan tradisi masyarakat Melayu dan Kedayan masih diamalkan, namun disesuaikan dengan tuntutan syarak serta perubahan kehidupan semasa.
Dr Dilah berkata, maklumat daripada FGD itu akan dianalisis bersama data soal selidik terdahulu, khususnya berkaitan pilihan bahasa mengikut domain penggunaan, hubungan kekeluargaan merentas sempadan dan pembentukan identiti masyarakat Melayu dan Kedayan.
Beliau berharap penyelidikan itu dapat menyumbang kepada pendokumentasian khazanah bahasa dan budaya masyarakat di utara Sarawak, selain menjadi rujukan ilmiah untuk memahami perubahan sosial dan sosiolinguistik masyarakat sempadan.
Sesi perbincangan selama tiga jam itu melibatkan 17 pemimpin masyarakat, termasuk Temenggong Rosili Majid, Pemanca Hassan Pilus, tujuh penghulu dan lapan ketua kampung dari Lawas.

