ARTIKEL

Profesor Dr Fitri Suraya ketika sesi temu bual khas sempena Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon II Sibu di Bilik Mesyuarat Utama, Bahagian Komunikasi Korporat UNIMAS, di sini, hari ini. (Foto RAMIDI SUBARI)

UNIMAS komited bantu pelajar B40 melalui kerjasama Yayasan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Kekangan kewangan dalam kalangan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak seharusnya menjadi penghalang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, kata Profesor Dr Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, institusi pengajian tinggi kini menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kewangan bagi memastikan akses pendidikan kekal inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

Mengambil contoh UNIMAS, beliau menjelaskan pihak universiti sentiasa berusaha membantu pelajar, khususnya mereka yang bakal melangkah ke menara gading bagi memastikan proses memulakan pengajian berjalan lancar.

“Setiap tahun kita akan mengenal pasti pelajar daripada golongan B40 yang berdepan kekangan kewangan, termasuk tidak mampu menampung kos untuk hadir ke kampus. Ada dalam kalangan mereka yang menulis surat atau menghubungi UNIMAS memaklumkan bahawa mereka telah menerima tawaran, namun tidak mempunyai wang untuk datang ke kampus.

“Jadi kita akan membantu termasuk dengan kerjasama Yayasan Sarawak. Cuma, bantuan seperti ini jarang kita uar-uarkan tetapi jika diperlukan insya-Allah kami sedia membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual khas sempena Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon II Sibu di Bilik Mesyuarat Utama, Bahagian Komunikasi Korporat UNIMAS, di sini, hari ini.

Tambahnya, UNIMAS yang telah beroperasi lebih 30 tahun mempunyai pengalaman luas dalam menyediakan pelbagai bentuk khidmat sokongan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa yang kurang berkemampuan.

“Usaha membantu pelajar tidak hanya tertumpu kepada fasa kemasukan, sebaliknya diteruskan melalui pelbagai saluran termasuk bantuan kewangan daripada yayasan dan agensi berkaitan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihak universiti turut memperkenalkan inisiatif kerja sambilan dalam kampus di bawah seliaan pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (HEPA) bagi membantu pelajar menjana pendapatan sepanjang tempoh pengajian.

“Kami sedang memperkasakan peluang kerja dalam kampus, termasuk kerja jangka pendek dan sambilan yang membolehkan pelajar memperoleh pendapatan semasa berada di kampus.

“Pendekatan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar, malah memberi pendedahan awal kepada pengalaman kerja yang meningkatkan kebolehpasaran graduan,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai peluang pendidikan tinggi, beliau menegaskan bahawa ruang sentiasa terbuka luas kepada individu yang berhasrat meningkatkan kemahiran diri tanpa had umur, khususnya bagi pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah.

“Tiada had umur untuk menyambung pengajian. Pembelajaran sepanjang hayat sentiasa terbuka, bergantung kepada keinginan dan keupayaan individu untuk mengurus masa serta komitmen masing-masing.

“Kita juga menawarkan pelbagai laluan kemasukan termasuk program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) serta pengambilan sepanjang tahun bagi program pascasiswazah, sekali gus memperluas akses pendidikan tinggi kepada masyarakat,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU