ASAJAYA:Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menggerakkan 18 Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam Program Kampung Angkat MADANI bagi melaksanakan 10 projek pembangunan fizikal dan lapan program sosial di lima buah kampung di Semera sekali gus menjadi model kerjasama komuniti yang boleh dicontohi seluruh negara.
Lima kampung terlibat adalah Kampung Semera Masjid, Semera Hilir, Lot Buah, Lot Baru dan Ulu Semera.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee menyifatkan pelibatan menyeluruh UNIMAS bersama komuniti luar bandar sebagai contoh semangat pendekatan kerajaan bersama masyarakat.
“Program seperti ini bukan sekadar membina struktur fizikal seperti baik pulih perpustakaan atau aktiviti kemasyarakatan tetapi turut melibatkan projek signifikan yang menyentuh keperluan asas masyarakat,” katanya ketika hadir bagi majlis perasmian tersebut baru-baru ini.
Tambah beliau, usaha ini ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak berteraskan “Sarawak Maju Makmur” yang menekankan kepentingan membina negeri progresif, hijau, berdaya tahan dan inklusif.
“Sarawak Maju Makmur bukan sekadar slogan tetapi juga cita-cita bersama untuk memastikan rakyat Sarawak di semua kawasan termasuk kawasan luar bandar seperti Kampung Semera untuk menikmati pembangunan yang seimbang dan mampan,”jelasnya.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr. Ahmad Hata berkata, program ini memberi manfaat terus kepada penduduk melalui projek fizikal yang dijalankan.
“Antara projek fizikal yang dilakukan termasuk pemasangan sistem penuaian air hujan di masjid dan dewan kampung.
“Selain itu, pemasangan lampu solar di lokasi strategik, pendawaian elektrik baharu dan menaik taraf kemudahan dewan, pembinaan jeti baharu serta limbungan kapal,”ujarnya.
Menjelas lanjut, beliau berkata UNIMAS menjunjung prinsip ‘Universiti Didorong Komuniti untuk Dunia Lestari’.
“Ini bagi memastikan setiap program digerakkan secara inklusif, berasaskan keperluan tempatan dan kelestarian jangka panjang,”kongsinya.
Menariknya,program ini turut mendapat sokongan padu daripada Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Asajaya, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Kolej Teknologi Termaju, Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).






