ARTIKEL

DR. DILAH (tengah) dan Ketua 1, GEMĄ, Zainal Abidin Muhamad (dua kanan) bersama-sama tetamu kehormat yang lain merakam foto kenangan.

UNIMAS martabat sastera dua wilayah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LEGENDA silam yang merentas Laut China Selatan kini bertaut dalam satu wadah persuratan menerusi pelancaran buku antologi puisi Puteri Saadong-Puteri Santubong 2026 berjudul Salam Buat Santubong di Lobi Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), baru-baru ini.

Program anjuran FPBK UNIMAS dengan kerjasama Persatuan Penulis Kelantan (GEMA) itu mempertemukan warisan budaya Sarawak dan Kelantan menerusi nukilan puisi.

Antologi yang diselenggarakan oleh Ruzila Man itu mengangkat warisan tradisi lisan menerusi dua tokoh legenda, iaitu Puteri Santubong yang dekat di hati masyarakat Sarawak dan Puteri Saadong yang menjadi lambang kebanggaan masyarakat Kelantan.

Dekan FPBK UNIMAS, Dr. Dillah Tuah berkata, penganjuran majlis pelancaran antologi puisi itu memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi UNIMAS sebagai universiti yang dipacu oleh komuniti.

“Universiti bukan sekadar membawa ilmu kepada masyarakat, tetapi belajar daripada masyarakat, mengangkat pengetahuan mereka dan membangunkan ilmu bersama-sama.

“Legenda, bahasa, memori dan budaya masyarakat merupakan sumber ilmu yang sangat bernilai,” katanya kepada Suara Sarawak pada majlis pelancaran buku antologi berkenaan di Lobi FPBK UNIMAS baru-baru ini.

PARA audien yang hadir pada malam tersebut.

Sastera wadah pewarisan budaya

Mengulas peranan kesusasteraan tempatan dalam era moden, Dr. Dillah menegaskan bahawa legenda warisan hanya akan terus hidup sekiranya diceritakan semula mengikut kesesuaian zaman.

Menurut beliau, tradisi lisan yang suatu ketika dahulu diwarisi menerusi penceritaan dari mulut ke mulut kini boleh diberi nafas baharu melalui pelbagai bentuk karya kreatif, termasuk puisi, novel, muzik, filem, animasi, siniar dan platform media sosial.

“Puisi memberi ruang kepada generasi baharu untuk mentafsir warisan tersebut mengikut zaman mereka. Generasi muda bukan sekadar penerima cerita, tetapi bertindak sebagai penyambung warisan komuniti kepada generasi seterusnya.

“Dari sudut akademik, kisah Puteri Saadong dan Puteri Santubong menawarkan khazanah ilmu yang luas untuk dikaji, termasuk aspek bahasa, sastera dan sosial.

“Bagi pakar dan penyelidik, legenda menyimpan kekayaan kosa kata, nama tempat, ungkapan serta jati diri masyarakat,” tambahnya.

Beliau menekankan bahawa komuniti harus dilihat sebagai pemilik pengetahuan dan bukannya sekadar objek kajian.

PELANCARAN buku Antologi Puisi Puteri Saadong-Puteri Santubong 2026, berjudul Salam Buat Santubong.

Sarawak sebagai makmal hidup era AI

Menyentuh cabaran teknologi masa kini, khususnya kandungan digital dan kecerdasan buatan (AI), Dr. Dillah berpendapat, kemajuan teknologi tidak seharusnya mengikis identiti serta keaslian karya tempatan.

“Teknologi seperti AI boleh membantu proses penghasilan kandungan, namun teknologi tidak mempunyai pengalaman membesar di rumah panjang, kehidupan di kampung pesisir mahupun perjalanan di sungai-sungai Sarawak.

“Teknologi boleh membantu kita bercerita, tetapi komuniti yang memberikan kita cerita tersebut.

“Pihak fakulti sentiasa menggalakkan mahasiswa menjadikan Sarawak sebagai ‘makmal hidup’.

“Pembelajaran di FPBK UNIMAS tidak terbatas kepada pembelajaran di dalam bilik kuliah, sebaliknya mahasiswa digalakkan turun ke lapangan, bertemu masyarakat, mendengar kisah legenda tempatan dan menterjemahkannya ke dalam bentuk penyelidikan serta karya kreatif yang bernyawa,” katanya lagi.

Bagi menangani cabaran kemerosotan minat generasi muda akibat persaingan daripada kandungan digital yang pantas, pendekatan pengajaran sastera kini perlu diubah. Sastera tidak lagi boleh diajar melalui hafalan dan berorientasikan peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan pengalaman pembelajaran yang interaktif.

KETUA 1 GEMA, Zainal Abidin Muhamad berucap bagi pihak persatuan tersebut.

Misi angkat suara Borneo ke persada dunia

Di samping itu, berdasarkan kejayaan penerbitan antologi ini, FPBK UNIMAS merancang untuk memperluas pelaksanaan projek seumpama ini ke seluruh pelosok Sarawak, merangkumi khazanah cerita dari Kuching hingga ke Limbang dan Lawas.

Malah, hubungan antara universiti dengan komuniti akan terus diperkukuh menerusi penerbitan siri buku, dokumentari, arkib digital serta persembahan animasi pada masa hadapan.

Justeru, Dr. Dillah berharap kesusasteraan Sarawak mampu melahirkan barisan penulis muda yang mempunyai keyakinan untuk membawa suara tempatan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Karya dan cerita dari kampung, rumah panjang, sungai dan pedalaman Sarawak mempunyai nilai sejagat yang besar untuk dikongsi dengan masyarakat dunia.

“Apabila karya anak Sarawak dibaca di Kuala Lumpur, Jakarta, London mahupun Tokyo, dunia akan mengenali akar warisan yang melahirkannya. Kita bukan sahaja mahu membawa dunia ke Sarawak, tetapi juga mahu membawa suara Sarawak dan Borneo kepada dunia,” ujarnya lagi.

FOTO berkumpulan pihak penganjur dan ahli persatuan GEMA.
SUASANA menarik sekitar majlis.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU