ARTIKEL

Profesor Dr Fitri Suraya ketika sesi temu bual khas sempena Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon II Sibu di Bilik Mesyuarat Utama, Bahagian Komunikasi Korporat UNIMAS, di sini, hari ini. (Foto RAMIDI SUBARI)

UNIMAS nantikan kelulusan KPT tawarkan program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kini menantikan kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang susulan penubuhan Fakulti Undang-Undang (FUU).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS, Profesor Dr Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie berkata, proses penubuhan fakulti dan program pengajian memerlukan tempoh yang panjang dengan UNIMAS mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mencapai tahap semasa.

“Kami kini di peringkat akhir mendapatkan kelulusan daripada KPT. Insya-Allah, pada Mei ini akan diketahui sama ada program yang ditawarkan di bawah FUU mendapat kelulusan atau tidak.

“Bagaimanapun, persiapan rapi telah dilaksanakan. Kami juga sudah mula melantik pensyarah bagi mengisi kekosongan jawatan serta melengkapkan kakitangan di fakulti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual khas sempena Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon II Sibu di Bilik Mesyuarat Utama, Bahagian Komunikasi Korporat UNIMAS, di sini, hari ini.

Tambah beliau, fakulti berkenaan akan ditempatkan di Kampus Bandar UNIMAS (City Campus) di Kuching yang kini dalam proses naik taraf bagi menampung keperluan pengoperasian FUU.

Menurutnya, bangunan tersebut sebelum ini digunakan oleh Fakulti Perubatan UNIMAS, namun kini akan dimanfaatkan oleh FUU termasuk penyediaan satu tingkat yang diubah suai sebagai kemudahan mahkamah simulasi (moot court) yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun ini.

“Konsep mahkamah simulasi yang dibangunkan adalah berbeza daripada universiti lain kerana kami menekankan penggunaan teknologi. Ruang yang disediakan juga fleksibel dengan bilik yang boleh diubah suai mengikut keperluan sama ada dibesarkan atau dikecilkan.

“Penggunaan mahkamah juga berbeza mengikut bidang, misalnya mahkamah jenayah berbeza dengan mahkamah keluarga. Kami akan memanfaatkan teknologi seperti realiti maya (VR) bagi membolehkan pelajar merasai suasana sebenar mahkamah mengikut bidang masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan UNIMAS menyasarkan FUU sebagai fakulti butik yang menekankan pemilihan pelajar secara teliti dan calon pengambilan pertama akan melalui proses temu duga sebelum ditawarkan tempat.

“Buat masa ini, program tersebut tidak sempat dimasukkan ke dalam sistem Unit Pusat Universiti (UPU), justeru ia belum tersenarai. Namun, selepas mendapat kelulusan, permohonan akan dibuka melalui hebahan khas yang dijangka dibuat sekitar Mei atau Jun ini.

“Pengambilan pertama dijangka melibatkan kira-kira 30 pelajar dan dibuka kepada lepasan STPM, diploma serta kelayakan setara untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda,” jelas beliau.

Untuk rekod, fakulti berkenaan turut memberi fokus kepada Undang-undang Adat (Customary Law) yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pendekatan transdisiplin bagi menyokong pembangunan ekonomi Sarawak.

Selain itu, ia juga akan meneroka bidang perundangan baharu termasuk undang-undang berkaitan teknologi seperti sistem penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) selaras dengan hala tuju pembangunan negeri.

Pada masa yang sama, UNIMAS merancang menubuhkan pusat kecemerlangan (CoE) bagi undang-undang adat serta sebuah pusat kajian adat dan sejarah untuk memperkukuh agenda penyelidikan fakulti tersebut.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU