Buluh Sarawak berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai bahan utama dalam reka bentuk moden dan kontemporari.
Ini dibuktikan melalui pameran “Bamboo Reimagined – Nature Meets Design” yang berlangsung di Plaza Merdeka, Kuching dari 12 hingga 14 Disember lalu, sekali gus berjaya mencuri perhatian pengunjung.
Pameran selama tiga hari ini merupakan hasil projek penyelidikan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang memfokuskan kepada eksplorasi inovatif buluh sebagai bahan lestari, sekali gus membuka dimensi baharu dalam dunia reka bentuk produk tempatan.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan, ramai pengunjung memberikan maklum balas positif dengan kualiti, estetika dan keunikan produk yang dipamerkan.
Projek penyelidikan yang dibiayai melalui dana dalaman UNIMAS ini berjaya menghasilkan lebih daripada 30 prototaip produk berasaskan buluh.
Koleksi yang dipamerkan merangkumi perabot, produk dekorasi kediaman serta aksesori fesyen, yang kesemuanya direka dengan pendekatan moden tanpa mengetepikan nilai semula jadi bahan buluh itu sendiri.



Menariknya, projek ini turut melibatkan kerjasama strategik bersama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) yang berperanan penting dalam memastikan hasil reka bentuk bukan sahaja kreatif tetapi juga praktikal dan berpotensi untuk dikomersialkan.
Kolaborasi ini mencerminkan sinergi kukuh antara institusi akademik, agensi pembangunan industri dan pemain industri perabot tempatan dalam memajukan sumber asli Sarawak.
Antara tarikan utama pameran ini ialah prototaip inovatif yang berjaya menepis persepsi stereotaip produk buluh yang sering dikaitkan dengan reka bentuk tradisional dan konvensional.
Sebaliknya, koleksi yang dipamerkan menampilkan gaya minimalis, fungsi ergonomik serta gabungan tekstur semula jadi buluh dengan elemen reka bentuk kontemporari yang kemas dan sofistikated.
Pendekatan ini jelas selari dengan cita rasa dan trend kediaman moden masa kini, sekali gus membuktikan bahawa buluh mampu bersaing sebagai bahan pilihan dalam pasaran reka bentuk global.
Menurut ketua penyelidik projek, Profesor Madya Dr. Faridah Sahari, pameran ini bukan sekadar platform untuk mempamerkan produk, malah berfungsi sebagai medan penting untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada masyarakat umum.
Sepanjang pameran berlangsung, maklum balas pengunjung direkodkan melalui soal selidik dan sesi temu bual bagi menilai persepsi serta tahap penerimaan pengguna produk berasaskan buluh.
Dapatan ini akan dianalisis secara terperinci untuk memahami kehendak dan jangkaan pengguna, seterusnya dijadikan panduan bagi penambahbaikan reka bentuk pada masa hadapan.



Peranan STIDC dalam projek ini amat signifikan, khususnya dalam menyediakan sokongan teknikal, bahan mentah serta akses kepada infrastruktur industri.
Pelibatan SFIA pula memastikan reka bentuk prototaip yang dihasilkan memenuhi keperluan industri dan berdaya maju dari segi pengeluaran berskala komersial. Kerjasama ini dilihat sebagai asas penting untuk memacu pembangunan industri perabot buluh yang mampan di Sarawak.
Malah, kerajaan negeri juga dilihat berpotensi memainkan peranan lebih besar dengan menyalurkan dana, menyediakan platform promosi serta melibatkan golongan belia yang berminat dalam bidang reka bentuk dan pengeluaran perabot buluh berkualiti tinggi.
Inisiatif seperti projek “Bamboo Reimagined” ini amat bertepatan dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak, yang meletakkan industri perabot sebagai salah satu pemacu utama ekonomi negeri.
Di bawah PCDS 2030, Sarawak menyasarkan peningkatan ketara sumbangan industri perabot kepada ekonomi negeri, dengan sasaran eksport perabot bernilai tambah tinggi antara RM6 bilion hingga RM8 bilion menjelang 2030.

Penggunaan buluh sebagai bahan lestari bukan sahaja menyokong matlamat ekonomi, malah selari dengan agenda kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran.
Pandangan positif turut disuarakan oleh wakil STIDC, Johari Zainuddin dan Ahmad Nazari Sabki, yang menyifatkan projek ini sebagai langkah awal serta memberangsangkan dalam mengangkat martabat buluh Sarawak ke peringkat lebih tinggi.
Mereka berharap maklum balas yang dikumpul dapat menjadi input berharga untuk fasa pengkomersialan seterusnya.
Selain itu, pihak Bioeconomy Corporation yang diketuai oleh Dr. Faizal Hamid turut memuji pelibatan komuniti, artisan dan pengusaha kecil tempatan dalam projek ini, yang dilihat mampu memberikan impak bioekonomi yang mampan kepada masyarakat setempat.
Secara keseluruhan, kejayaan pameran “Bamboo Reimagined – Nature Meets Design” membuktikan bahawa buluh Sarawak mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai bahan inovatif dalam reka bentuk produk moden.
Dengan sokongan berterusan daripada institusi akademik, agensi kerajaan, industri dan komuniti, buluh bukan sahaja mampu menjadi simbol kelestarian, malah pemangkin kepada peluang ekonomi baharu yang berdaya saing dan mampan untuk Sarawak pada masa hadapan.

