KUCHING: Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, mengadakan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Dr Abdullah Zulkifli, hari ini bagi memperkukuh hubungan serta meneroka kerjasama baharu dalam bidang pendidikan tinggi.
Dr Abdullah yang mula bertugas pada 27 September lalu menyatakan komitmen untuk memperluas kerjasama dua hala di antara Indonesia dengan Sarawak, bukan sahaja dalam sektor pendidikan, tetapi juga kebudayaan, tenaga kerja, perdagangan dan pelaburan.
Turut mengiringi Ahmad Hata ialah Pengarah UNIMAS Global, Thian Foong Fatt; Pegawai Khas kepada Naib Canselor, Mohd Hussaini Noorjaya Chew; Ketua Unit Mobiliti UNIMAS Global, Mohd Ilham Abdullah dan wakil Pejabat Korporat UNIMAS, Azlandy Tuah.
Mereka disambut mesra oleh Konsul Sosial, Budaya dan Penerangan, Ely Syafitri Handayani.
Dalam pertemuan itu, Ahmad Hata berkongsi perkembangan terkini kerjasama sedia ada UNIMAS dengan institusi pendidikan di Indonesia, selain membincangkan potensi kerjasama baharu meliputi mobiliti akademik, penyelidikan bersama dan program pertukaran budaya.
“Pulau Borneo unik kerana dikongsi oleh Malaysia, Indonesia dan Brunei, walaupun berbeza, kita hidup harmoni. Hubungan pendidikan yang lebih erat mampu memupuk semangat perpaduan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Thian menegaskan hubungan baik UNIMAS-Konsulat Jeneral Indonesia sudah lama terjalin dan yakin ia akan terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif pendidikan serta pertukaran budaya.
Pertemuan berkenaan diakhiri dengan komitmen bersama untuk memperluas kerjasama dalam pertukaran pelajar, penyelidikan dan jaringan akademik yang memberi manfaat kepada Malaysia dan Indonesia.




