ARTIKEL

Profesor Dr Ahmad Hata (paling kanan), bersama wakil Malaysia dan Kazakhstan ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pendidikan tinggi serta memperluas peluang pendidikan rentas negara.

UNIMAS perluas jejak pendidikan ke Asia Tengah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memperluas jejak pendidikan antarabangsanya ke Asia Tengah menerusi penubuhan Pusat Pembelajaran UNIMAS Kazakhstan di Almaty, Kazakhstan.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, pusat berkenaan bakal menyediakan platform pendidikan rentas negara (TNE) dan pembelajaran di dua lokasi, selain membuka peluang mobiliti pelajar melalui kerjasama dengan Universiti Pengurusan Almaty (AlmaU).

“Kami menterjemahkan hubungan antarabangsa kepada laluan pendidikan rentas negara yang aktif, penyelidikan berimpak tinggi serta kehadiran global yang mampan,” katanya.

“Fokus kami adalah memastikan kerjasama ini menghasilkan pencapaian bermakna dalam bidang akademik, penyelidikan dan institusi untuk UNIMAS serta rakan kerjasama kami,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi UNIMAS dalam misi pendidikan tinggi ke Kazakhstan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, bagi memperkukuh kerjasama Malaysia-Kazakhstan dalam bidang pendidikan tinggi.

Menurut kenyataan UNIMAS, memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Pengurusan Almaty turut melibatkan perancangan pengambilan kumpulan mobiliti seramai 30 pelajar dengan sokongan Education Malaysia Global Services (EMGS).

“Pada masa sama, UNIMAS memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan dengan Universiti Al-Farabi Kazakh, Universiti SDU dan Universiti Satbayev,” ujar kenyataan itu.

“Kerjasama berkenaan membuka peluang kepada penyelidikan bersama, penyeliaan bersama, pertukaran akademik serta pembentukan rangkaian penyelidikan antarabangsa,” tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, jaringan berkenaan selari dengan agenda antarabangsa UNIMAS 2030, khususnya dalam memperkukuh kepelbagaian pelajar antarabangsa, rangkaian penyelidikan global, keterlihatan penyelidikan dan reputasi institusi.

“Misi itu turut meneroka peluang memperluas inovasi serta harta intelek UNIMAS ke pasaran Asia Tengah menerusi UNIMAS Holdings Sdn Bhd,” jelas kenyataan itu.

“Langkah berkenaan menambah dimensi pengkomersialan kepada jaringan kerjasama UNIMAS di rantau itu, selain membuka ruang untuk inovasi universiti dibawa ke pasaran antarabangsa,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Sarawak turut diteroka sebagai lokasi berpotensi bagi penganjuran Mesyuarat Menteri Malaysia-Kazakhstan yang akan datang.

Perkembangan hubungan Malaysia-Kazakhstan itu seterusnya membuka peluang untuk Sarawak diposisikan sebagai pintu masuk pendidikan tinggi, penyelidikan dan pertukaran ilmu antara Malaysia dengan Asia Tengah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU